BANGKOK: Perdana Menteri Srettha Thavisin mahu mengeratkan hubungan Thailand-Malaysia melalui kerjasama yang dipertingkatkan bagi manfaat ketara dan kesejahteraan yang lebih baik kepada rakyat di kedua-dua negara, terutama di sepanjang sempadan.

Dalam catatan terbarunya di X hari ini, Srettha berkata beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan lawatan peribadinya ke Phuket pada Selasa.

Suasana semasa berbual dan menjamu selera sangat mesra, katanya.

"Saya yakin kerajaan ini akan mengukuhkan hubungan Thailand-Malaysia; memperluas lagi kerjasama untuk kepentingan negara dan rakyat khususnya di wilayah sempadan selatan," tulisnya.

Beliau turut berkongsi tiga gambar beliau dan Anwar semasa pertemuan tidak rasmi itu.

Sementara itu, Srettha berkata Thailand komited untuk memperkukuh kerjasama pelancongan Thailand-Malaysia.

Beliau menekankan peningkatan pelancong hujung minggu Malaysia ke Thailand baru-baru ini, dengan jumlah purata melonjak daripada 10,000 kepada 30,000.

Beliau berkata Malaysia turut menyatakan hasrat untuk menarik lebih ramai pelawat dari Thailand.

"Membangunkan matlamat bersama ini, kedua-dua negara menyasarkan untuk memanfaatkan potensi pelancongan bersama mereka untuk memacu kemakmuran di utara Malaysia dan selatan Thailand, sambil menangani kebimbangan mengenai keselamatan di sempadan," katanya.

Thailand menerima 27.25 juta pelancong tahun ini, dengan pengunjung dari Malaysia menduduki senarai teratas pelawat ke Thailand, seramai 4.4 juta, setakat 24 Dis.

-- BERNAMA