BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan  Angkatan Bersenjata Diraja Thai supaya tidak menggunakan kanabis, manakala seorang Ahli Parlimen Demokrat meminta Speaker Dewan melarang penggunaannya di Parlimen, lapor Bangkok Post.

Timbalan Jurucakap bagi Kementerian Pertahanan, Jittanat Punnothok berkata, Prayut yang juga Menteri Pertahanan mengarahkan tiga cabang tentera termasuk Polis Diraja Thai dan Jabatan Perhubungan Awam Thailand meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang risiko membabitkan penanaman dan pengambilannya.

Jittanat berkata, Prayut juga menguatkuasakan larangan penggunaan ganja secara rekreasi dalam kalangan anggota keselamatan, selain tidak mempromosikannya di media sosial.

"Semua organisasi di bawah Kementerian Pertahanan wajib mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan Awam tentang penggunaan kanabis. Mereka hanya dibenarkan mengambilnya atas tujuan perubatan, bukannya rekreasi," kata Jittanat.

Sementara itu, Parti Demokrat menggesa Speaker Dewan supaya Parlimen bebas daripada sebarang penggunaan kanabis kerana ia mengakibatkan kelesuan dan isu kesihatan lain.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Demokrat, Pisit Leeahtam berkata, walaupun pokok ganja telah dikeluarkan daripada senarai narkotik Kategori 5, Parlimen perlu menjadi zon bebas ganja, sama seperti Universiti Mahidol dan semua sekolah yang beroperasi di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Ahli Parlimen Parti Bhumjaithai, Supachai Jaisamut, yang juga presiden jawatankuasa rang undang-undang kanabis dan hemp, menegaskan bahawa orang awam hanya boleh menanam 10 batang pokok ganja dalam satu rumah, untuk mengelakkan penyalahgunaan. Peraturan itu akan diperincikan dalam rang undang-undang tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Perubatan Sektor Penerbangan Thailand dan Institut Perubatan Tentera Udara, mengeluarkan kenyataan pada Jumaat, yang memberi amaran supaya pekerja dalam industri penerbangan dilarang menggunakan kanabis kerana ia menjejaskan prestasi juruterbang.