KAPAL persiaran milik Belanda, MV Hondius yang mengalami wabak hantavirus di atas kapal akan meneruskan pelayaran ke Kepulauan Canary, Sepanyol, menurut pihak berkuasa negara itu.
Kementerian Kesihatan Sepanyol memaklumkan, pihaknya sedang menentukan penumpang yang memerlukan pemindahan kecemasan dari Cape Verde, lokasi kapal itu sedang berlabuh ketika ini.
Advertisement
Menurut kenyataan berkenaan, baki penumpang akan dibawa ke Kepulauan Canary dan dijangka tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari, sambil menambah bahawa pelabuhan ketibaan masih belum ditentukan.
Seramai tiga penumpang yang berada di atas kapal MV Hondius dilaporkan meninggal dunia selepas kapal itu berlayar dari Argentina merentasi Lautan Atlantik kira-kira sebulan lalu.
Dua kru kapal termasuk doktor kapal, memerlukan rawatan perubatan segera dan sedang menunggu untuk dipindahkan keluar atas faktor kesihatan.
Seorang lagi individu yang mempunyai kaitan dengan seorang warga Jerman yang meninggal dunia juga dijadualkan untuk dipindahkan.
Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata, doktor kapal berkenaan, yang kini berada dalam keadaan serius, akan dipindahkan ke Kepulauan Canary hari ini menggunakan pesawat hospital.
Kementerian Kesihatan Sepanyol turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan Cape Verde “tidak mampu melaksanakan operasi ini.”
“Kepulauan Canary adalah lokasi terdekat yang mempunyai keupayaan diperlukan. Sepanyol mempunyai kewajipan moral dan undang-undang untuk membantu individu-individu ini, termasuk beberapa warganegara Sepanyol,” menurut kenyataan itu.
Hantavirus lazimnya merebak melalui tikus, namun WHO menyatakan jangkitan itu berkemungkinan tersebar dalam kalangan “hubungan yang sangat rapat” di atas kapal berkenaan, sambil menegaskan risiko kepada orang awam adalah rendah.
Menurut kemas kini terbaharu WHO, sebanyak tujuh kes hantavirus telah dikenal pasti setakat ini, merangkumi dua kes disahkan dan lima kes disyaki.
Dua kes yang disahkan melibatkan seorang wanita warga Belanda, yang termasuk antara individu yang meninggal dunia serta seorang warga Britain berusia 69 tahun yang telah dipindahkan ke Afrika Selatan untuk rawatan perubatan.
Suami wanita tersebut turut meninggal dunia, namun tidak diklasifikasikan sebagai kes disahkan, begitu juga seorang warga Jerman yang meninggal dunia pada 2 Mei lalu.
Seramai 149 individu dari 23 negara masih berada di atas kapal di bawah “langkah berjaga-jaga yang ketat”, menurut pengendali kapal, Oceanwide Expeditions.
Selain seorang kru warga Britain yang turut dijadualkan untuk dipindahkan, terdapat 22 lagi warganegara Britain di atas kapal berkenaan. - Agensi