SEOUL: Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan sedang menyiasat 193 kes bayi tidak berdaftar semasa dilahirkan, kata pegawai pada Selasa, di tengah-tengah peningkatan kes penderaan kanak-kanak termasuk penemuan mengejutkan dua mayat bayi baru lahir yang disimpan di peti sejuk.

Polis sedang memperluaskan siasatan ke atas kes "bayi hantu" yang mempunyai rekod perubatan kelahiran tetapi tiada pendaftaran kelahiran rasmi.

Siasatan itu susulan tindakan kerajaan melancarkan kempen di seluruh negara untuk memeriksa kesejahteraan lebih 2,000 bayi yang tidak berdaftar, menurut Agensi Berita Yonhap.

Kempen itu dibuat selepas seorang ibu ditahan bulan lalu atas tuduhan mencekik dua bayinya yang baru lahir, masing-masing pada 2018 dan 2019 dan secara rahsia menyimpan mayat berkenaan di dalam peti sejuk di pangsapurinya di Suwon, 30 kilometer selatan Seoul.

Pegawai berkata agensi polis menerima 209 kes bayi hantu setakat ini dengan 193 daripadanya kini dalam siasatan.

Daripada jumlah itu, 20 telah dikesan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan 178 yang lain, katanya.

Sebelas daripada bayi itu disahkan meninggal dunia, tujuh tanpa sebarang unsur khianat. Baki empat kes masih dalam siasatan kerana disyaki jenayah.

Daripada 20 kanak-kanak yang lokasinya telah ditemui, sembilan masih hidup dan didapati dijaga dengan baik menyebabkan kes mereka ditolak, kata pegawai.

-- BERNAMA