Polis Thailand merampas 10.5 juta pil "Yaba" dan 12 kg dadah jenis "Ice" (Crystal Methaphetamine) dari satu sindiket antarabangsa sebelum mereka dapat menyeludup dadah itu ke negara jiran.

Ketua Polis Thailand, Jen Chakthip Chaijinda berkata rampasan dadah pada Sabtu lepas adalah susulan operasi bulan lepas di Samut Prakan apabila polis merampas 10.3 juta pil "Yaba" dari sindiket yang sama.

"Kebanyakan pelanggan (sindiket) ialah dari negara jiran di selatan Thailand," kata beliau kepada media hari ini tetapi tidak menyatakan nama negara tersebut walaupun ramai yang membuat spekulasi bahawa pelanggan sindiket adalah rakyat Malaysia.

Beliau berkata dadah itu diseludup ke Thailand dan disimpan di sebuah rumah sewa di daerah Klongsawa, di utara Bangkok sebelum diedarkan kepada pelanggan sindiket.

Dua suspek, dipercayai sebagai "runner" sindiket ditahan oleh polis dalam operasi tersebut, menurut Chakthip.

Sementara itu, satu sumber yang menyertai operasi memberitahu Bernama, anggota sindiket sering berulang-alik ke Hatyai di selatan Thailand untuk mengedar sejumlah besar dadah terutama "Ice", iaitu gred "Methamphetamine" yang berkualiti lebih tinggi.

"Mereka (anggota sindiket) mengedar kira-kira100 kg hingga 200 kg "Ice" setiap kali mereka berkunjung ke selatan Thailand. Mereka menyerahkan dadah itu kepada rakyat asing dari sebuah negara jiran di Hatyai," kata beliau.

Anggota sindiket berkunjung ke bandar yang popular di selatan Thailand itu sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Sumber itu yang tidak mendedahkan identitinya disebabkan sensiviti maklumat, berkata maklumat perisikan menunjukkan bahawa kira-kira 100 kg "Ice" "dijual beli" setiap kali anggota sindiket berkunjung ke Hatyai.

Jual beli terbaharu antara sindiket dan pelanggan asing ialah bulan lepas kata beliau sambil menambah pihak berkuasa telah berjaya menahan beberapa anggota sindiket sebelum ini.

Menurut beliau, kebanyakan pil "Yaba", dadah "Methamphetamine" gred rendah ialah untuk diedarkan di dan sekitar Bangkok serta negara-negara jiran tetapi "Ice" kebanyakannya ialah untuk dieksport.

-- BERNAMA