VATICAN CITY: Pope Leo menegaskan, misi beliau adalah untuk menyampaikan dan menyeru kepada keamanan dunia, sebagai maklum balas terhadap kecaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sambil menegaskan setiap individu bebas mengkritiknya.
Dalam kenyataan terbaharunya mengenai Pope Leo, Trump mencadangkan bahawa beliau percaya Ketua Gereja Katolik itu beranggapan adalah wajar Iran memiliki senjata nuklear.
Advertisement
Bagaimanapun, Pope tidak pernah menyatakan sokongan terhadap pemilikan senjata nuklear oleh Iran, sebaliknya beliau menentang perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu.
Pendirian tersebut dilaporkan mencetuskan kemarahan Trump, yang kemudiannya melancarkan kecaman berulang kali terhadap Pope Leo.
Pertikaman lidah terbaharu itu berlaku ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadual mengadakan lawatan selama dua hari ke Vatican minggu ini.
Menurut Jabatan Negara AS, Rubio akan berusaha untuk “memperkukuh hubungan dua hala” dengan Itali dan Vatican, selain membincangkan “situasi di Asia Barat serta kepentingan bersama di Hemisfera Barat”, termasuk dalam pertemuan dengan pemimpin Itali lain.
Menjelang lawatannya, Rubio menafikan bahawa kunjungan itu bertujuan meredakan ketegangan antara Trump dan Vatican.
“Ia adalah lawatan yang telah dirancang lebih awal, dan jelas terdapat beberapa perkembangan terkini,” katanya, sambil menambah terdapat “banyak perkara untuk dibincangkan dengan Vatican”.
Awal Selasa, Pope Leo menegaskan, beliau akan terus menyeru kepada keamanan walaupun berdepan kritikan.
“Misi Gereja adalah untuk menyampaikan Injil, untuk menyeru kepada keamanan,” kata Pope seperti dipetik Reuters.
Minggu ini, Trump berkata kepada hos rancangan bual bicara konservatif, Hugh Hewitt, bahawa Pope Leo “membahayakan ramai penganut Katolik dan orang awam” kerana didakwa “menganggap tidak mengapa Iran memiliki senjata nuklear.”
Dakwaan itu dinafikan kerana Pope tidak pernah menyatakan sokongan sedemikian.
Namun, Duta AS ke Holy See, Brian Burch berkata kepada wartawan bahawa walaupun wujud ketegangan kebelakangan ini, tiada “perpecahan serius” antara Washington dan Vatican.
“Negara-negara mempunyai perbezaan pandangan, dan salah satu cara untuk menanganinya adalah melalui semangat persaudaraan dan dialog yang tulen,” katanya.
Beliau menambah bahawa pertemuan Rubio di Itali memberikan ruang kepada kedua-dua pihak untuk “berbincang dan menyelesaikan perbezaan.”
Pertikaian itu turut mencetuskan ketegangan antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang sebelum ini merupakan sekutu Trump, selepas beliau mengkritik perang di Asia Barat dan tampil mempertahankan Pope.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau akan bertemu Rubio minggu ini, Meloni menjawab, “Saya fikir ya.”
Pope Leo secara konsisten menyuarakan penentangan terhadap konflik di Asia Barat.
Bulan lalu, beliau berkata: “Sebagai seorang paderi, saya tidak boleh menyokong peperangan.”
“Saya ingin menggalakkan semua pihak berusaha mencari jawapan yang lahir daripada budaya keamanan, bukan daripada kebencian dan perpecahan,” katanya.
Trump membalas kenyataan Pope itu dengan melabelkannya sebagai “LEMAH dalam isu jenayah” dan “buruk dalam dasar luar.”
Beliau juga menulis di media sosial bahawa Pope “tidak pernah disenaraikan sebagai calon Pope dan hanya dilantik kerana beliau seorang warga Amerika.”
“Jika saya tidak berada di White House, Leo tidak akan berada di Vatican,” tulis Trump.
Trump turut menerima kecaman selepas memuat naik imej yang menggambarkan beliau seperti figura Nabi Isa sebelum gambar itu dipadam.
Trump kemudian mengakui memuat naik imej berkenaan sambil berkata beliau menganggapnya sebagai “saya sebagai seorang doktor.”
Naib Presiden AS, JD Vance yang memeluk agama Katolik, turut mempertahankan Trump dengan menyatakan bahawa Vatican seharusnya “fokus kepada soal moral.” - Agensi