PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikat peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan kes itu masih berjalan dengan 10 individu telah dirakam percakapan manakala 15 lagi akan dikesan bagi tujuan sama.
Advertisement
“Kes masih lagi dalam siasatan,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan pembekuan aset syarikat itu juga masih diteruskan walaupun terdapat permohonan daripada pihak berkaitan supaya aset berkenaan dilepaskan.
“Namun demikian, pegawai penyiasat masih mengatakan perlu dibekukan lagi aset syarikat berkenaan,” katanya.
Pada 24 April lepas, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan SPRM telah membekukan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya di bawah satu perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 25 April lepas, Padini memaklumkan telah memulakan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM yang dikaitkan dengan siasatan melibatkan beberapa pihak ketiga di luar kumpulan syarikat dan bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.
Padini turut memaklumkan pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar serta mengambil langkah sewajarnya termasuk memohon relif bagi tujuan penyahbekuan akaun terlibat, sambil menegaskan operasi harian kumpulan berjalan seperti biasa.
Sementara itu, Azam mengingatkan penjawat awam khususnya yang memegang jawatan dan amanah supaya tidak terlibat dalam rasuah serta salah guna kuasa yang boleh menyebabkan ketirisan kepada negara.
“Saya telah sebut RM277 bilion telah hilang dalam tempoh enam tahun lepas dan wang itu perlu dikembalikan kepada rakyat sebanyak mungkin...dalam tempoh dua tahun setengah lepas pula, RM5 bilion berjaya dikembalikan.
“Jadi menjadi tanggungjawab pengurusan baharu, pegawai-pegawai saya yang kekal dalam SPRM serta semua agensi penguat kuasa lain di bawah pasukan petugas untuk bekerjasama dan mempunyai iltizam sama dalam mengekang segala bentuk jenayah dalam negara ini,” katanya.
-- BERNAMA