Skip to main content

Dunia

Presiden Indonesia tegaskan larangan pembakaran terbuka untuk pembersihan tanah

Prabowo Subianto
Prabowo berkata penduduk yang perlu membuka atau membersihkan tanah pertanian hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya bantuan dapat diberikan melalui kaedah yang dibenarkan kerajaan. -Gambar X
Advertisement

PEKANBARU: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sekali lagi menegaskan larangan keras terhadap sebarang aktiviti pembukaan tanah menerusi pembakaran terbuka di seluruh negara, lapor ANTARA.

Beliau mengarahkan semua agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan mempergiat usaha pendidikan awam serta penguatkuasaan bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah.

Prabowo menyampaikan arahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat khas pengurusan kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Posko Aju, Riau, pada Isnin.

Beliau berkata penduduk yang perlu membuka atau membersihkan tanah pertanian hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya bantuan dapat diberikan melalui kaedah yang dibenarkan kerajaan.

Menurut beliau, kerja pembersihan tanah boleh diselaraskan menerusi kumpulan tani dengan pembiayaan melalui program Kredit Usaha Rakyat (KUR) yang disokong kerajaan dan koperasi tempatan.

Selain membanteras pembakaran oleh individu, Prabowo turut mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap syarikat yang didapati mengarah atau terlibat dalam aktiviti pembakaran bagi tujuan pembukaan tanah.

Beliau menggesa polis, pendakwa raya dan Badan Intelijen Negara (BIN) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mana-mana syarikat yang disyaki terbabit, sambil memberi amaran bahawa permit operasi mereka akan ditarik balik jika terbukti bersalah.

Dalam pada itu, Prabowo mahu tindakan mitigasi dan pengesanan awal dipertingkat bagi memastikan setiap titik panas baharu dapat ditangani sebelum berkembang menjadi kebakaran besar.

Beliau turut mengarahkan anggota berkaitan digerakkan segera ke lokasi titik panas serta memastikan bekalan air mencukupi, termasuk melalui pembinaan perigi kecemasan di kawasan berisiko tinggi.

Must Watch Video

Advertisement