SEPANG: Meskipun gandingan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik baru sahaja meraih gelaran naib juara Kejohanan Badminton Dunia 2026, pencapaian itu belum menjamin kedudukan mereka untuk terus dikekalkan sebagai pasangan tetap dalam masa terdekat.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi menegaskan penilaian menyeluruh masih perlu dilakukan terhadap prestasi mereka serta kombinasi lain sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat pada penghujung tahun ini.
"Walaupun mereka tidak juara, keputusan mereka cukup baik. Tapi kalau mahu lebih baik lagi kalau dia juara pasti lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Herry berkata kelebihan pasangan nombor empat dunia itu adalah tahap keserasian sedia ada memandangkan mereka sudah lama digandingkan walaupun pernah dipisahkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Beliau menyifatkan kualiti permainan yang ditunjukkan pasangan itu sepanjang kejohanan tersebut telah mencapai tahap optimum berdasarkan situasi semasa mereka.
Bekas juara dunia 2022 itu terpaksa akur di kedudukan kedua terbaik selepas tewas 17-21, 16-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi, baru-baru ini.
Herry turut memaklumkan Aaron dan Wooi Yik akan kembali dipisahkan untuk menyertai kejohanan lain mengikut strategi asal yang telah ditetapkan.
"Memang ini perancangan seperti itu. Jadi selepas Kejohanan Dunia, mereka akan kembali dipisahkan. Nanti setelah akhir tahun baru kita tengok hasilnya...kita akan buat penilaian apakah pasangan ini kekal atau tidak," katanya.
Mengulas lanjut, Herry menjelaskan bahawa pihak kejurulatihan masih perlu melihat keberkesanan gandingan lain yang telah dirancang bagi melihat potensi pemain untuk jangka panjang.
Beliau memaklumkan langkah melakukan pertukaran pasangan dalam beberapa kejohanan sebelum ini memberi impak sangat berguna dari segi pengalaman terutamanya kepada pemain muda.
-- BERNAMA