Proses peralihan kuasa di Afrika Selatan hampir pasti akan berlaku dengan pengunduran Presiden Jacob Zuma.

Naib Presiden Cyril Ramaphosa mengesahkan dalam proses rundingan langsung dengan Zuma berhubung peralihan berkenaan.

Kenyataan ini adalah yang pertama mengesahkan Zuma bakal berundur, sejak tuntutan supaya beliau meletak jawatan sebelum ini.

Ramaphosa yang kini mengetuai parti pemerintah ANC memaklumkan beliau dan Zuma sudah mencapai persetujuan mengenai kaedah terbaik menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Zuma, berusia 75 tahun berdepan dakwaan rasuah selepas sembilan tahun memegang tampuk kuasa.

Beliau berdepan tekanan supaya meletak jawatan sejak Disember lalu, selepas berlaku proses peralihan kepimpinan dalam parti ANC yang menyaksikan Ramaphosa menggantikan kedudukan beliau.

Ramaphosa dalam pada itu menyifatkan rundingan langsung dengan Zuma sebagai satu peluang untuk mencapai persetujuan tanpa menggugat kestabilan politik.

BACA: ANC tangguh mesyuarat, Presiden Jacob Zuma masih selamat

ANC sebelum ini memaklumkan pertemuan dengan Zuma membuahkan hasil dan rundingan berakhir dengan keputusan konstruktif.

Parti itu menunda mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti, yang mempunyai kuasa menentukan kedudukan Zuma ke 17 Februari depan.

Parti pembangkang bagaimanapun menuntut supaya parlimen mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Zuma.

Parlimen pada Selasa menangguhkan ucapan tahunan presiden, atas alasan wujud gangguan tertentu.