INTERNATIONAL
Presiden China Xi Jinping tiba di Hanoi untuk lawatan negara ke Vietnam

Xi menyatakan bahawa lawatan itu akan menjadi peluang untuk merangka pelan baharu ke arah pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Vietnam. - AP
HANOI: Presiden China Xi Jinping tiba di Hanoi pada Isnin bagi memulakan lawatan negara ke Vietnam, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan bertulis setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi, Xi berkata beliau sangat gembira untuk memulakan lawatan negara keempat beliau ke Vietnam atas jemputan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV) To Lam dan Presiden Vietnam Luong Cuong.
Bagi pihak Parti Komunis China, kerajaan dan rakyat China, Xi turut menyampaikan salam hormat dan ucapan selamat kepada CPV yang dianggap sebagai parti bersaudara, kerajaan Vietnam dan rakyat Vietnam.
Beliau menyatakan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-95 penubuhan CPV, ulang tahun ke-80 penubuhan Vietnam, dan ulang tahun ke-50 pembebasan Selatan Vietnam. Menurutnya, CPV telah menyatukan dan memimpin rakyat Vietnam dengan tekad dalam merealisasikan dua matlamat yang ditetapkan sempena ulang tahun penubuhan parti dan negara itu.Xi berkata pihak China berasa gembira melihat tahap kehidupan rakyat Vietnam semakin meningkat, pengaruh Vietnam di peringkat global dan serantau terus berkembang, serta kemajuan ketara dalam usaha pemodenan dan perindustrian sosialis negara itu.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa di bawah pimpinan kukuh Jawatankuasa Pusat CPV yang diketuai To Lam, Vietnam akan terus menelusuri jalan sosialisme yang sesuai dengan keadaan negara, melaksanakan agenda Kongres Kebangsaan ke-13 CPV, merintis jalan bagi Kongres Kebangsaan ke-14, dan mencapai kemajuan baharu dalam pembangunan parti dan negara.
Xi turut menyatakan bahawa sebagai jiran sosialis yang dihubungkan oleh banjaran gunung dan sungai, China dan Vietnam telah membentuk satu komuniti berkongsi masa depan yang membawa makna strategik.
Ketika melalui tempoh sukar dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembebasan negara, kedua-dua pihak telah berjuang bersama-sama dan saling menyokong, lalu menjalin persahabatan mendalam berteraskan semangat "rakan seperjuangan dan saudara," katanya.
Dalam usaha masing-masing mencari jalan sosialisme yang sesuai dengan keadaan negara, kedua-dua pihak saling belajar, melangkah seiring dan bersama-sama menunjukkan kepada dunia potensi sistem sosialisme, tambah beliau.
Presiden China itu turut mengimbas kembali lawatan negaranya ke Vietnam pada 2023, ketika kedua-dua negara mengumumkan pembentukan komuniti berkongsi masa depan yang membawa makna strategik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua parti dan negara.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara China dan Vietnam, dan turut diiktiraf sebagai Tahun Pertukaran Rakyat China-Vietnam, yang membuka ruang baharu dalam pembangunan komuniti berkongsi masa depan China-Vietnam, katanya.
Xi berkata berada di ambang fasa baharu dalam sejarah, China bersedia untuk terus bekerjasama dengan Vietnam demi mengekalkan semangat persahabatan asal, melaksanakan misi bersama, merebut peluang semasa serta memperluas kerjasama pada tahap lebih tinggi, lebih luas dan lebih mendalam demi manfaat rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada serantau dan dunia.
Beliau juga menyatakan harapannya untuk mengadakan pertukaran pandangan secara mendalam dengan pemimpin Vietnam berhubung isu hubungan dua hala antara parti dan negara yang membawa kesan global, menentukan hala tuju masa depan serta mempunyai kepentingan strategik, termasuk isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Xi turut menyatakan bahawa lawatan itu akan menjadi peluang untuk merangka pelan baharu ke arah pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Vietnam yang membawa makna strategik.
Beliau turut mendoakan agar Vietnam terus makmur dan kukuh serta rakyatnya hidup sejahtera dan bahagia.
"Semoga persahabatan tradisional antara China dan Vietnam diwarisi dari generasi ke generasi dan usaha membina komuniti berkongsi masa depan China-Vietnam yang membawa makna strategik akan terus mencatat kejayaan lebih besar," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami