Skip to main content

Dunia

Presiden Indonesia sedia hadapi semua kemungkinan selepas Mahkamah Agung AS tolak tarif global Trump

61756622133_PrabowoSubianto.jpg
Menurut Prabowo, kerajaan beliau bersedia menghadapi semua kemungkinan selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat menolak tarif global yang dicadangkan Presiden Donald Trump. - Gambar fail

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata pada Sabtu (21 Feb) bahawa kerajaan beliau bersedia menghadapi semua kemungkinan selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak tarif global yang dicadangkan Presiden Donald Trump.

Prabowo, bersama para menterinya, berada di Washington DC minggu ini untuk menghadiri mesyuarat pertama Lembaga Keamanan dan untuk pertemuan dua hala dengan Pesiden AS bagi menandatangani perjanjian perdagangan yang mengurangkan kadar tarif ke atas eksport Indonesia kepada 19 peratus daripada 32 peratus.

Advertisement

“Kami bersedia untuk semua kemungkinan. Kami menghormati politik domestik Amerika Syarikat dan kami akan memantau perkembangannya,” kata Prabowo kepada wartawan dalam satu kenyataan video.

Secara berasingan, ketua perunding Indonesia bagi tarif AS, Airlangga Hartarto, berkata pada Sabtu, kerajaan telah meminta Amerika Syarikat mengekalkan pengecualian tarif yang sebelum ini dipersetujui untuk beberapa eksport Indonesia seperti minyak sawit, kopi dan koko.

Menurut Airlangga, perjanjian perdagangan yang dimeterai pada Jumaat antara Indonesia dan AS masih berkuat kuasa walaupun perkembangan terbaharu itu berlaku, sambil mengatakan bahawa akan ada layanan berbeza bagi negara yang telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Washington. - Agensi
 

Must Watch Video