WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kontroversi politik baharu selepas menggesa syarikat penstriman Netflix supaya memecat ahli lembaga pengarahnya, Susan Rice, atau berdepan “padah”, dalam satu hantaran di platform Truth Social pada Sabtu.
Dalam kenyataan berapi-api itu, Trump menuduh bekas duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sebagai “rasis”, “taksub anti-Trump” dan seorang “ahli politik tanpa bakat”.
Advertisement
Beliau turut mempersoalkan berapa bayaran Rice terima dan “untuk apa”.
Kemarahan Trump dikatakan berpunca daripada komen Rice dalam sebuah podcast awal minggu ini, di mana beliau memberi amaran bahawa syarikat-syarikat yang “mengikut kehendak Trump” mungkin bakal berdepan tindakan apabila Demokrat kembali berkuasa.
Rice berkata syarikat yang memilih untuk tunduk kepada kepentingan politik jangka pendek tidak boleh mengharapkan layanan ‘berlapang dada’ seperti dahulu.
Kenyataan Trump itu muncul ketika Netflix sedang berdepan penelitian regulatori berkaitan cadangan pengambilalihan Warner Bros, satu isu yang turut menjadi sasaran tokoh konservatif lain seperti Laura Loomer, yang mendakwa syarikat itu berpihak kepada kepimpinan era Obama.
Netflix setakat ini belum mengeluarkan sebarang komen berhubung desakan Trump.