Skip to main content
Advertisement

Dunia

Presiden Iran yakin Asia Barat mampu selesaikan konflik tanpa campur tangan AS

Presiden Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Masoud mengadakan pertemuan di Kremlin, Moscow, Rusia, pada Selasa. - Gambar Reuters
Presiden Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Masoud mengadakan pertemuan di Kremlin, Moscow, Rusia, pada Selasa. - Gambar Reuters

Advertisement

MOSCOW: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, negara-negara di Asia Barat mampu menyelesaikan masalah dan konflik di rantau itu tanpa campur tangan Amerika Syarikat (AS), ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Moscow pada Selasa.

Beliau berkata, negara-negara di rantau berkenaan mempunyai keupayaan untuk menangani cabaran yang dihadapi tanpa bergantung kepada Washington.

Pezeshkian turut menegaskan hubungan perdagangan antara Iran dan Rusia terus berkembang, manakala tindakan AS di Asia Barat secara tidak langsung menggalakkan kerjasama lebih erat antara negara-negara yang berdepan sekatan unilateral Washington.

Menurutnya, perkembangan itu memudahkan usaha ke arah pendekatan pelbagai hala serta memperkukuh hubungan antara Tehran, Moscow dan rakan strategik lain.

Dalam perkembangan sama, Putin berkata, beliau dan Pezeshkian telah membincangkan situasi konflik yang sedang berlaku di Asia Barat dan berharap keadaan semasa akan berubah ke arah yang lebih positif.

Beliau mengakui, ketegangan di rantau berkenaan merupakan sesuatu yang membimbangkan, namun optimis usaha diplomatik yang sedang dijalankan mampu membantu meredakan keadaan.

Pezeshkian juga menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua negara mempunyai kesediaan politik untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sains, industri, kebudayaan, keselamatan dan pertahanan.

Rusia sejak beberapa bulan kebelakangan ini dilihat cuba memainkan peranan sebagai pengantara bagi meredakan ketegangan melibatkan Iran, ketika rundingan antara Tehran dan Washington masih menemui jalan buntu.

Minggu lalu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengadakan lawatan ke Tehran dan menegaskan usaha Moscow tertumpu kepada mengelakkan tercetusnya semula konflik berskala besar di rantau tersebut.

Pada masa sama, hubungan Iran-Rusia dilaporkan terus diperkukuh ketika kedua-dua negara berusaha memperluaskan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik Asia Barat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement