PRISTINA:Presiden Kosovo Hashim Thaci meletak jawatan pada Khamis, selepas tribunal perang di The Hague mengesahkan dakwaan pembabitan beliau dengan jenayah perang.

Reuters melaporkan, beliau berkata tindakan itu perlu bagi melindungi integriti kepimpinan negara berkenaan.

“Saya meletak jawatan sebagai presiden. Ini kerana hakim di Kamar Pakar Kosovo tidak akan membenarkan saya (tampil di The Hague) sebagai presiden," kata Thaci pada sidang media di Pristina.

Tribunal berkenaan ditubuhkan pada 2015 untuk mengendalikan kes dakwaan jenayah perang ketika peperangan yang membawa kepada kemerdekaan Kosovo daripada Serbia.

Mahkamah itu ditadbir oleh undang-undang Kosovo tetapi dikendalikan oleh hakim dan pendakwa raya antarabangsa.

Mengikut Perlembagaan negara itu, Ketua Parlimen Kosovo akan memangku jawatan presiden sementara penggantinya dilantik.

Julai lalu, Thaci yang juga bekas komander kanan kumpulan gerila Tentera Pembebasan Kosovo (KLA), bertemu dengan pendakwa raya di The Hague, Belanda bagi berbincang mengenai isu itu.

Antara inti pati perbincangan adalah berhubung jenayah perang dan aktiviti bertentangan kemanusiaan yang didakwa berlaku ketika kebangkitan Kosovo menentang Serbia, pada tahun 1998 dan 1999.

Menurut pendawa raya, Thaci bertanggungjawab ke atas pembunuhan hampir 100 orang awam ketika perang berlangsung, namun semua dakwaan itu dinafikan beliau.