Skip to main content

Dunia

Presiden Lubnan ke Washington untuk bertemu Trump, bincang pengunduran Israel

Lebanese President Joseph Aoun attends a press conference at the presidential palace in Baabda, Lebanon, February 16, 2026. REUTERS/Mohamed Azakir
Joseph Aoun dijadual mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai kanan AS mengenai situasi di Lubnan serta usaha memperkukuh gencatan senjata dengan Israel. - Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Lubnan Joseph Aoun berlepas dari Beirut ke Washington, DC pada Sabtu bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menurut Pejabat Presiden Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

Aoun dijadual mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai kanan AS mengenai situasi di Lubnan serta usaha memperkukuh gencatan senjata dengan Israel, menurut hantaran Pejabat Presiden Lubnan di platform media sosial X.

Perbincangan itu turut akan menyentuh usaha untuk "memastikan pengunduran Israel dari wilayah Lubnan yang didudukinya serta memperluas kuasa negara Lubnan ke seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Lawatan berkenaan diadakan selepas pusingan keenam rundingan Lubnan-Israel yang ditaja AS berakhir pada Rabu di Rom.

Beirut dan Tel Aviv menandatangani perjanjian rangka kerja hasil pengantaraan AS pada 26 Jun lepas, yang memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, bermula dengan pelaksanaan model perintis di dua zon yang tidak didedahkan kepada umum.

Perjanjian itu tidak menetapkan sebarang garis masa bagi pengunduran berkenaan, sebaliknya mengaitkan penyempurnaan pengunduran itu dengan pengambilalihan sepenuhnya tanggungjawab keselamatan oleh tentera Lubnan di kawasan yang telah dikosongkan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata, yang merujuk kepada kumpulan Hizbullah di Lubnan.

Serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 4,300 orang dan mencederakan 12,200 yang lain sejak 2 Mac, menurut angka rasmi Lubnan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement