Presiden Marcos yakin Belanjawan 2026 'baik dan telus'

Marcos berkata kedua-dua dewan Kongres telah mengenal pasti potensi penjimatan dalam projek kerajaan, khususnya dalam bidang infrastruktur, susulan arahannya untuk mengurangkan kos pembinaan. - Gambar fail facebook Bongbong Marcos
BUSAN (Korea Selatan): Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. yakin kerajaan akan menggubal "belanjawan yang baik dan telus" bagi 2026 apabila Kongres menyambung semula perbahasan mengenai cadangan perbelanjaan negara, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Bercakap kepada wartawan di sini selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Sabtu, Marcos berkata kedua-dua dewan Kongres telah mengenal pasti potensi penjimatan dalam projek kerajaan, khususnya dalam bidang infrastruktur, susulan arahannya untuk mengurangkan kos pembinaan.
"Apabila perbahasan belanjawan disambung semula, kedua-dua Dewan Kongres - Senat dan Dewan Perwakilan - mendapati bahawa kita akan memperoleh lebih banyak penjimatan.
"Saya percaya kita akan dapat membuktikan bahawa adalah mungkin untuk menyediakan belanjawan yang baik dan telus," katanya.
Marcos sebelum ini mengumumkan bahawa Senat dan Dewan Perwakilan bersetuju menyiarkan secara langsung prosiding jawatankuasa persidangan dua dewan bagi belanjawan negara 2026 - yang pertama dalam sejarah perundangan Filipina untuk mengelakkan sebarang penyisipan atau urus niaga tertutup di saat akhir yang sering menimbulkan kontroversi.
Beliau sebelum ini mengarahkan Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya (DPWH) mengurangkan kos bahan binaan sehingga 50 peratus, langkah yang dijangka menjimatkan antara PHP30 bilion hingga PHP45 bilion bagi kerajaan.
Marcos berkata penjimatan itu akan disalurkan semula kepada sektor keutamaan seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan makanan.
Presiden itu turut menegaskan kepentingan pelaksanaan pembaharuan sistemik bagi membendung kerenah birokrasi dan rasuah dalam perbelanjaan awam.
"Apapun yang dilakukan, akan sentiasa ada yang cuba memperdaya kerajaan. Tetapi jika sistem ditetapkan dengan baik, ia akan menyukarkan golongan tersebut melakukan perbuatan rasuah.
"Apabila ia semakin sukar, semakin kecil jumlah individu yang terlibat dalam amalan rasuah. Ini adalah usaha berterusan - bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


