Skip to main content

Dunia

Presiden Palestin tetapkan 11 Sept 2027 sebagai tarikh pilihan raya presiden, badan perundangan secara serentak

Dekri baharu itu menyeru rakyat Palestin untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya bebas dan langsung bagi memilih Presiden Negara Palestin serta Ahli Majlis Badan Perundangan Palestin secara serentak, mengikut undang-undang. - Gambar fail
Dekri baharu itu menyeru rakyat Palestin untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya bebas dan langsung bagi memilih Presiden Negara Palestin serta Ahli Majlis Badan Perundangan Palestin secara serentak, mengikut undang-undang. - Gambar fail

Advertisement

RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan satu dekri pada Sabtu yang menetapkan pilihan raya presiden dan badan perundangan diadakan secara serentak pada 11 Sept 2027, sekali gus membatalkan dekri terdahulu yang menetapkan pilihan raya badan perundangan pada 28 Nov 2026, lapor Agensi Berita dan Penerangan Maklumat Palestin (WAFA).

Dekri baharu itu menyeru rakyat Palestin di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya bebas dan langsung bagi memilih Presiden Negara Palestin serta Ahli Majlis Badan Perundangan Palestin secara serentak, mengikut undang-undang.

Dekri itu menyusuli keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan perundingan dengan puak serta pihak berkaitan politik Palestin, yang mencapai konsensus nasional berhubung halangan akibat tindakan Israel untuk menganjurkan pilihan raya pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, selain keperluan mewujudkan keadaan politik, keselamatan dan lapangan yang sesuai bagi pilihan raya yang bebas, adil serta terangkum.

Ia juga bertujuan memberi peluang kepada dialog nasional yang komprehensif bagi mengukuhkan perpaduan Palestin, mengekalkan keutuhan wilayah dan sistem politik, menangani cabaran yang dihadapi proses pilihan raya, serta memastikan penyertaan rakyat Palestin di seluruh Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Gaza sambil melindungi hak politik dan perlembagaan mereka.

Keputusan menangguhkan pilihan raya badan perundangan dan menetapkan tarikh baharu bagi pilihan raya presiden dan badan perundangan secara serentak dibuat di tengah-tengah serangan tentera Israel yang berterusan, perluasan penempatan haram, keganasan peneroka serta pencerobohan berulang kali oleh Israel di seluruh Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Sekatan ke atas kebebasan bergerak dan tindakan Israel yang terus menahan hasil cukai Palestin turut mewujudkan cabaran keselamatan, ekonomi serta pentadbiran dalam membuat persiapan dan menjalankan pilihan raya, menurut dekri itu.

Mengenai Gaza, dekri itu dikeluarkan pada masa keadaan keselamatan dan kemanusiaan berada pada tahap luar biasa, kegagalan melaksanakan rancangan  bagi menempatkan pasukan penstabilan antarabangsa dan pasukan polis mengikut Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kekurangan kemajuan dalam pembangunan semula, serta pengunduran tentera Israel dari Semenanjung itu yang masih belum selesai.

Keadaan ini, menurut dekri berkenaan, mewujudkan halangan keselamatan, logistik dan di lapangan untuk mewujudkan syarat yang diperlukan bagi penganjuran pilihan raya.

Dekri itu juga menuding kepada sekatan Israel ke atas akses kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat dan pemerhati antarabangsa ke Gaza dan Baitulmuqaddis Timur, sekali gus merumitkan persiapan serta prosedur dan mengehadkan keupayaan badan berkaitan untuk mengawasi serta memantau proses pilihan raya mengikut piawaian undang-undang dan demokrasi.

Secara keseluruhan, keadaan ini menjejaskan kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan inklusif pada tarikh terdahulu, di samping memastikan keselamatan awam serta keupayaan rakyat Palestin melaksanakan hak pilihan raya mereka secara bebas dan selamat di seluruh wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Dekri itu menegaskan semula komitmen untuk mengadakan pilihan raya sebagai kewajipan nasional dan perlembagaan, serta sebagai penzahiran hak rakyat Palestin untuk memilih wakil mereka secara demokratik, memulihkan keabsahan demokratik institusi Palestin dan mengukuhkan perpaduan sistem politik.

Di bawah dekri itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat akan mengambil langkah yang perlu untuk membuat persiapan, menganjurkan dan menyelia pilihan raya presiden dan badan perundangan mengikut Undang-Undang Pilihan Raya Umum yang berkuat kuasa, bagi memastikan proses pengundian berlangsung secara bebas, adil, telus dan terangkum di seluruh wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement