Skip to main content

Dunia

England catat rekod 5,000 kematian dikaitkan dengan cuaca panas tahun ini

United Kingdom mengalami musim panas paling panas dalam rekod tahun ini dengan beberapa kawasan di negara itu berdepan gelombang haba berulang selama beberapa bulan, bermula pada penghujung Mei apabila suhu di London mencecah 35.1 darjah Celsius, paras tertinggi sepanjang masa bagi bulan berkenaan. - Foto fail/REUTERS
United Kingdom mengalami musim panas paling panas dalam rekod tahun ini dengan beberapa kawasan di negara itu berdepan gelombang haba berulang selama beberapa bulan, bermula pada penghujung Mei apabila suhu di London mencecah 35.1 darjah Celsius, paras tertinggi sepanjang masa bagi bulan berkenaan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Lebih 5,000 kematian dikaitkan dengan cuaca panas di England pada 2026, tertinggi sejak rekod bermula pada 2016, menurut UKHSA.
  • England mengalami musim panas paling panas dalam rekod, dengan suhu mencecah 38.2 darjah Celsius dan gelombang haba berulang sepanjang Mei hingga Ogos.
  • Laporan UKHSA menekankan kepentingan kesiapsiagaan awal menghadapi risiko kesihatan akibat cuaca panas, terutama bagi golongan berisiko tinggi.
Advertisement

LONDON: Lebih 5,000 kematian dikaitkan dengan cuaca panas di England pada tahun ini, angka tertinggi sejak rekod mula dicatatkan pada 2016, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Selasa, lapor PA Media/dpa.

Dianggarkan sebanyak 5,258 kematian dikaitkan dengan cuaca panas pada 2026, jauh mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 2,985 kematian yang dicatatkan pada 2022.

United Kingdom mengalami musim panas paling panas dalam rekod tahun ini dengan beberapa kawasan di negara itu berdepan gelombang haba berulang selama beberapa bulan, bermula pada penghujung Mei apabila suhu di London mencecah 35.1 darjah Celsius, paras tertinggi sepanjang masa bagi bulan berkenaan.

Advertisement

Gelombang haba pada penghujung Jun mendorong Met Office mengeluarkan amaran merah yang jarang dikeluarkan bagi cuaca panas melampau, dengan suhu mencecah 38.0 darjah Celsius pada 26 Jun di Norfolk, sekali gus mencatatkan rekod baharu bagi bulan berkenaan.

Ketika cuaca panas terik berterusan sepanjang musim panas, England turut mengalami Julai paling kering sejak rekod bermula, dengan hanya 7 milimeter hujan direkodkan, bersamaan 10 peratus daripada purata jangka panjang.

Advertisement

Gelombang haba pada pertengahan Ogos menyaksikan suhu meningkat sehingga 38.2 darjah Celsius di Gloucestershire, menjadikannya hari paling panas tahun ini.

Dalam laporannya, UKHSA berkata: "Musim panas 2026 merupakan musim yang luar biasa dengan jumlah kematian tertinggi sejak 2016, iaitu ketika UKHSA mula menerbitkan laporan tahunan mengenai kematian berkaitan cuaca panas.

"Kesan ketara terhadap kadar kematian turut diperhatikan pada awal musim panas, dengan lebih 3,000 kematian dianggarkan berkaitan dengan episod gelombang haba sepanjang Mei dan Jun."

Jumlah kematian tertinggi berkaitan cuaca panas direkodkan antara 21 hingga 28 Jun, apabila dianggarkan 2,401 kematian dikaitkan dengan tempoh cuaca panas melampau itu.

Jumlah 5,258 kematian pada tahun ini menyusuli beberapa tahun dengan angka kematian tahunan yang jauh lebih rendah, iaitu 2,295 pada 2023; 1,311 pada 2024 dan 1,504 pada 2025.

Laporan menyatakan cuaca panas melampau pada awal musim panas "boleh mendatangkan risiko khusus kerana cuaca panas luar biasa mungkin berlaku sebelum orang ramai, komuniti dan perkhidmatan bersedia sepenuhnya serta mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap keadaan cuaca panas".

"Dapatan ini sekali gus mengukuhkan kepentingan memastikan langkah kesiapsiagaan menghadapi risiko kesihatan akibat cuaca panas dilaksanakan sejak awal musim, dan bukannya hanya memberikan tumpuan kepada tempoh paling panas pada pertengahan musim panas,"menurut laporan itu lagi.

Dr Ross Thompson, saintis kanan kesihatan alam sekitar di UKHSA berkata: "Cuaca panas boleh menjejaskan sesiapa sahaja, namun golongan warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada menghadapi risiko lebih tinggi.

"Perubahan iklim sudah pun menjejaskan kesihatan penduduk di England dan apabila iklim terus menjadi semakin panas, kita boleh menjangkakan tempoh cuaca panas melampau menjadi lebih panjang, lebih kerap dan lebih intensif.

"Justeru, adalah amat penting bagi individu, komuniti, perkhidmatan kesihatan dan penjagaan serta organisasi tempatan untuk membuat persediaan, bukan sahaja ketika gelombang haba berlaku tetapi juga dalam jangka panjang.

"Keputusan yang kita buat sekarang akan membentuk kesan terhadap kesihatan yang bakal dialami oleh masyarakat dalam beberapa dekad akan datang."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement