Skip to main content

Dunia

Presiden Sri Lanka jadikan ajaran Nabi Muhammad panduan tangani penyalahgunaan dadah

Sumber: Anura Kumara Dissanayake
Dissanayake berkata, ajaran Nabi Muhammad memberi kekuatan besar kepada program yang bertujuan memperkukuh nilai moral masyarakat, seperti kempen nasional yang dilancarkan kerajaan Sri Lanka untuk memerangi ancaman dadah. - Facebook Dissanayake
Advertisement

HYDERABAD: Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake menjadikan ajaran Nabi Muhammad sebagai panduan dalam usaha negara itu memerangi dadah, sambil berkata penekanan baginda terhadap nilai moral dan keadilan sosial mampu membantu menangani ancaman yang semakin membimbangkan itu.

Dalam perutusan sempena Maulidur Rasul, sambutan kelahiran Nabi Muhammad pada Rabiulawal, Dissanayake mengetengahkan mesej Islam mengenai keamanan, keadilan dan persaudaraan.

“Islam menolak segala bentuk kemungkaran yang merosakkan kesucian jiwa seseorang dan nilai moral masyarakat.

“Oleh itu, ajaran dan teladan Nabi Muhammad memberikan kekuatan besar kepada program yang bertujuan memperkukuh nilai moral masyarakat, seperti kempen nasional yang dilancarkan kerajaan untuk memerangi ancaman dadah yang semakin merebak seperti wabak di seluruh tanah air kita,” kata presiden itu pada Rabu.

Sri Lanka berdepan masalah penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda. 

Kedudukan geografi negara itu turut menjadikannya terdedah kepada eksploitasi rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Pada Februari, Dissanayake berikrar untuk menjadikan Sri Lanka sebuah negara yang tiada seorang pun kanak-kanak menjadi mangsa ancaman dadah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement