PRESIDEN Sri Lanka dilaporkan terperangkap apabila beliau dihalang oleh pegawai imigresen lapangan terbang untuk menaiki pesawat, menurut sumber rasmi.

Presiden Gotabaya Rajapaksa sebelum ini berjanji untuk meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada peralihan kuasa secara aman sehubungan protes terhadapnya selepas krisis ekonomi di negara berkenaan.

Rajapaksa, 75, telah meninggalkan kediaman rasminya di Colombo sebelum kediamannya diserbu ribuan penunjuk perasaan pada Sabtu dan dipercayai dalam perjalanan ke Dubai.

Sebagai Presiden, Rajapaksa mempunyai imuniti dari diberkas, dan beliau dipercayai berniat untuk ke luar negara sebelum meletakkan jawatan bagi mengelakkan tangkapan.

Namun, pegawai imigresen telah menghalang beliau untuk ke ruang VIP bagi urusan perjalanannya. Rajapaksa pula berkeras tidak mahu melalui laluan orang awam kerana risau akan berdepan ancaman orang ramai.

Rajapaksa dan isterinya terpaksa bermalam di sebuah pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa selepas dilaporkan terlepas empat penerbangan ke Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Adik Rajapaksa, Basil yang telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada April, dilaporkan turut mengalami nasib yang sama apabila beliau terlepas penerbangan ke Dubai selepas dihalang oleh kakitangan di lapangan terbang.

Basil dipercayai cuba membayar perkhidmatan berbayar di lapangan terbang, namun tidak berjaya.

“Beberapa penumpang turut membantah Basil menaiki pesawat itu,” kata pegawai lapangan terbang pada AFP.

“Suasana menjadi tegang, lalu beliau meninggalkan lapangan terbang,” tambah sumber itu.

Basil dilaporkan terpaksa mendapatkan pasport baharu selepas pasportnya terpaksa ditinggalkan di kediaman abangnya ekoran rusuhan ribuan penunjuk perasaan pada Sabtu lalu.

Sumber rasmi melaporkan satu beg berisi dokumen kerajaan turut ditinggalkan di kediaman Rajapaksa dan turut dijumpai ialah wang tunai bernilai hampir RM1 juta.