Skip to main content
Advertisement

Dunia

Presiden Sudan Selatan bubar kerajaan menjelang pilihan raya Disember

Salva Kiir Mayardit
Kiir (tengah) turut melantik Pemangku Gabenor di 10 negeri dan tiga kawasan pentadbiran. - Foto Presiden Sudan Selatan
Advertisement

JUBA (SUDAN SELATAN): Presiden Sudan Selatan Salva Kiir pada Selasa membubarkan Kerajaan Sementara Perpaduan Nasional negara itu, langkah yang dilihat secara meluas sebagai tindakan penting ke arah pilihan raya umum yang dijadualkan pada Disember ini, lapor Anadolu Ajansi.

Menerusi beberapa dekri presiden yang disiarkan di televisyen milik kerajaan South Sudan Broadcasting Corporation (SSBC), Kiir melantik beberapa pegawai untuk memangku jawatan dan mengawasi fungsi kerajaan ketika negara itu membuat persediaan bagi pilihan raya umum pertama sejak mencapai kemerdekaan.

Pegawai yang dilantik sebagai pemangku menteri termasuk Athian Diing Athian sebagai Pemangku Menteri Kewangan dan Perancangan, Cecilia Adut Manyok sebagai Pemangku Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa serta Stephen Par Kuol sebagai Pemangku Menteri Pembinaan Keamanan.

Turut dilantik Michael Makuei Lueth sebagai Pemangku Menteri Hal Ehwal Afrika Timur, Rizik Zakaria Hassan sebagai Pemangku Menteri Dalam Negeri, Ateny Wek Ateny sebagai Pemangku Menteri Penerangan dan Komunikasi serta Obote Mamur Mete sebagai Pemangku Menteri Keselamatan Negara.

Kiir turut melantik Pemangku Gabenor di 10 negeri dan tiga kawasan pentadbiran.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kekosongan perlembagaan berikutan mandat kerajaan sementara perpaduan itu berakhir pada Selasa.

Perjanjian damai 2018 yang ditandatangani pihak yang bertelagah bagi menamatkan konflik di negara itu menetapkan bahawa kerajaan sementara perlu menamatkan mandatnya tiga bulan sebelum pilihan raya.

Sudan Selatan dijadualkan mengadakan pilihan raya umum pada 22 Dis ini, namun persediaan bagi pengundian itu tertangguh dan perselisihan politik mengenai proses pilihan raya masih berterusan.

Kerajaan Sementara Perpaduan Nasional yang digiatkan semula ditubuhkan pada 22 Feb 2020 susulan pemeteraian Perjanjian Damai yang digiatkan semula pada 2018.

Perjanjian itu memperuntukkan tempoh peralihan selama 36 bulan selepas melalui tempoh lapan bulan sebelum peralihan.

Pada September 2024, pihak berkenaan melalui konsensus dan selaras dengan Perkara 8.4 perjanjian itu, melanjutkan tempoh peralihan sebanyak 24 bulan dari 22 Feb 2025 hingga 22 Feb 2027.

Pilihan raya itu turut dijadualkan semula pada Disember 2026.

Pelanjutan itu kemudiannya diratifikasi oleh Badan Perundangan Nasional Sementara dan diperkenankan oleh Presiden Republik Sudan Selatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement