Skip to main content

Dunia

Presiden Switzerland Guy Parmelin akan berundur pada akhir 2026

Parmelin memaklumkan kepada anggota Majlis Persekutuan dalam mesyuarat mingguan mereka bahawa beliau akan meninggalkan jawatannya pada 31 Disember. - Gambar fail
Parmelin memaklumkan kepada anggota Majlis Persekutuan dalam mesyuarat mingguan mereka bahawa beliau akan meninggalkan jawatannya pada 31 Disember. - Gambar fail

Advertisement

GENEVA: Presiden Switzerland Guy Parmelin mengumumkan pada Jumaat bahawa beliau akan berundur daripada Majlis Persekutuan pada akhir 2026, sekali gus menamatkan tempoh 11 tahun beliau dalam kerajaan, lapor Anadolu Ajansi.

Parmelin berkata beliau memaklumkan kepada anggota Majlis Persekutuan dalam mesyuarat mingguan mereka bahawa beliau akan meninggalkan jawatannya pada 31 Disember.

“Pada masa itu, sudah 11 tahun saya dipilih ke jawatan ini dan sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan kepada tenaga baharu,” katanya pada satu sidang media di Bern.

Parmelin, 66, berkata beliau membuat pertimbangan semasa cuti musim panas mengenai perkara yang terbaik untuk Switzerland dan secara beransur-ansur membuat kesimpulan bahawa meninggalkan jawatan pada akhir 2026 merupakan “keputusan yang paling sesuai”.

Ahli politik Parti Rakyat Switzerland itu dipilih ke Majlis Persekutuan pada Disember 2015.

Beliau mengetuai Jabatan Pertahanan mulai Januari 2016 sebelum mengambil alih Jabatan Persekutuan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan pada 2019.

 Beliau dua kali berkhidmat sebagai Presiden Switzerland secara bergilir, masing-masing pada 2021 dan 2026.

Parmelin berkata Switzerland berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi cabaran global semasa, namun mengingatkan bahawa “tiada apa yang boleh dianggap diperoleh secara muktamad” ketika dunia berubah dengan pantas.

“Dengan perang di Asia Barat, kebangkitan semula perlindungan perdagangan, ketidakstabilan geopolitik global serta kesannya terhadap keselamatan bekalan kita, kita sekali lagi berada dalam tempoh bergolak, ditambah pula dengan cabaran baharu yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan dan kesannya terhadap masyarakat serta perniagaan kita,” katanya.

“Namun, saya percaya saya boleh mengatakan bahawa Switzerland berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi cabaran ini, dengan kewangan yang kukuh, hutang terkawal, sistem pendidikan berprestasi tinggi dan syarikat inovatif yang, paling penting, melabur untuk masa depan,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyesuaikan diri dan mengambil keputusan yang diperlukan ketika persaingan global semakin sengit boleh menyebabkan Switzerland berdepan “kejutan yang amat buruk”.

 -- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement