SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, seperti yang diumumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir malam tadi.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja pada Selasa, pihak Istana mengambil maklum pengumuman Zambry menerusi Facebook pada jam 10 malam, 16 November lalu, yang dipercayai dibuat berdasarkan salinan surat peletakan jawatan dalam milikannya.
Bagaimanapun, Istana menegaskan, sebarang peletakan jawatan menteri besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
“Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban pada pukul 12.16 pagi, 17 November.
“Surat itu diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Istana turut memaklumkan bahawa perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz sebenarnya telah diberikan lebih awal, sebelum pengumuman peletakan jawatan dibuat oleh Zambry.
Menurutnya, Setiausaha Sulit telah memaklumkan perkenan tersebut kepada Ismail menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 8.38 malam Isnin dan perkara itu turut diakui terima oleh beliau.
“Sesi menghadap tersebut ditetapkan pada pukul 10.00 pagi, hari Jumaat, 20 November 2026 dan perkenan menghadap tersebut telah diberikan lebih awal 80 minit sebelum siaran YB Dato’ Seri Zambry di akaun Facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan itu.
“Pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut YB Dato’ Seri Zambry telah ditandatangani oleh Dato’ Ismail bin Lasim,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, status peletakan jawatan Ismail masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.