Skip to main content

Malaysia

Baja organik IWK buka peluang ekonomi kepada golongan B40

Menurut Narendran, penghasilan baja berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif memanfaatkan semula produk sampingan rawatan air kumbahan, sekali gus memberi nilai tambah kepada bahan buangan melalui pendekatan ekonomi kitaran.
Menurut Narendran, penghasilan baja berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif memanfaatkan semula produk sampingan rawatan air kumbahan, sekali gus memberi nilai tambah kepada bahan buangan melalui pendekatan ekonomi kitaran.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penghasilan baja organik daripada sisa kumbahan oleh Indah Water Konsortium (IWK) membuka peluang ekonomi kepada masyarakat, khususnya golongan B40, selain menyokong sektor pertanian dan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Narendran Maniam berkata, syarikat itu kini menghasilkan lima tan baja organik sehari, dengan keupayaan pengeluaran yang boleh ditingkatkan sehingga hampir 200 tan sehari.

Menurutnya, penghasilan baja berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif memanfaatkan semula produk sampingan rawatan air kumbahan, sekali gus memberi nilai tambah kepada bahan buangan melalui pendekatan ekonomi kitaran.

Advertisement

“Sebenarnya penghasilan baja ini, pada masa sekarang kita hasilkan lima tan sehari.

Syarikat berupaya untuk menghasilkan hampir 200 tan sehari.

Advertisement

“Baja organik dengan komposisi sebegini mampu membantu tanaman berasaskan daun dan bunga. Ia sangat efektif untuk nursery, padang golf dan juga tanaman seperti sawi, bendi dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Jelasnya, baja organik itu mengandungi nutrien nitrogen, fosforus dan kalium (NPK), dengan komposisi masing-masing 1.5 peratus nitrogen, satu peratus fosforus dan enam peratus kalium.

Dalam usaha memperluas manfaatnya kepada masyarakat, Narendran berkata, IWK turut menjalinkan kerjasama dengan Kebun Koperasi Negeri Selangor bagi membekalkan baja untuk projek pertanian yang berjaya menghasilkan tanaman sayuran.

Katanya, inisiatif itu turut membuka ruang kepada golongan B40 yang berminat menceburi bidang pertanian, khususnya melalui pembangunan nursery dan pertanian bandar.

“Usaha ini membantu golongan B40 juga. Kalau mereka mahu memulakan nurseri, kita boleh bantu membekalkan baja sebagai permulaan sebelum mereka memperbesarkan aktiviti pertanian bandar.

“Saya nampak peluang yang besar di sini, terutamanya apabila kita (bercakap mengenai) keterjaminan makanan. IWK sedia membantu golongan B40 yang mahu mengusahakan bidang baharu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Narendran mengakui usaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan baja organik berasaskan sisa kumbahan masih berdepan cabaran, khususnya berkaitan persepsi terhadap tahap keselamatan produk tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan keberkesanan menjadi antara keutamaan IWK, termasuk melalui pelaksanaan ujian makmal terhadap baja organik berkenaan.

“Saya faham, ia satu cabaran yang agak besar. Cuma, kesedaran itu merupakan antara usaha yang sedang kita laksanakan melalui promosi dan menggalakkan orang ramai datang mengambil sampel.

“Yang pertama ialah keselamatan produk tersebut. Ujian makmal ke atas baja organik ini telah mendapat kelulusan SIRIM. IWK telah melaksanakan ujian ketoksikan dan ia telah lulus, selamat untuk digunakan bagi tanaman berasaskan makanan serta bukan makanan,” katanya.

Selain aspek keselamatan, Narendran berkata, keberkesanan baja berkenaan turut diuji terhadap tanaman rumput Napier yang digunakan sebagai sumber makanan ternakan.

Menurutnya, ujian tersebut menunjukkan pertumbuhan rumput Napier yang lebih cepat, sekali gus memberi manfaat kepada penternak kambing dan lembu dari segi penyediaan sumber makanan ternakan.

Dari sudut penerimaan agama pula, beliau berkata, IWK turut memperoleh kelulusan daripada Majlis Muzakarah Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan yang mengharuskan penggunaan baja berkenaan sekiranya ia selamat digunakan.

Katanya, beberapa mufti turut memberikan pandangan yang menggalakkan penggunaan baja tersebut.

Narendran menegaskan, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan, kualiti dan keberkesanan produk akan terus dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan semula bahan hasil rawatan kumbahan.

Must Watch Video

Advertisement