DUNIA
Presiden Syria Sharaa luluskan sistem pilihan raya sementara Parlimen

Al-Sharaa (gambar) menerima draf akhir sistem pilihan raya sementara Syria pada akhir Julai lalu. - Gambar fail/REUTERS
DAMSYIK/ISTANBUL: Presiden Syria Ahmed al-Sharaa pada Rabu mengeluarkan dekri meluluskan sistem pilihan raya sementara bagi Majlis Rakyat untuk memilih dua pertiga anggotanya.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita Syria, SANA, Dekri No. 143 tahun 2025 itu menetapkan syarat proses pilihan raya, keperluan keanggotaan, jawatankuasa berkaitan serta kriteria bagi badan pilihan raya dan jawatankuasa pilihan raya.
People's Assembly akan dianggotai 210 ahli, dengan dua pertiga daripadanya dipilih melalui badan pilihan raya di kawasan pilihan raya setiap wilayah berdasarkan taburan demografi dan pentadbiran, manakala baki satu pertiga akan dilantik oleh presiden.
Dekri itu turut memperincikan peraturan rayuan, peranan jawatankuasa tertinggi, jawatankuasa subsidiari dan jawatankuasa undang-undang, bertujuan memastikan ketelusan dan integriti.Ia juga menekankan tentang kebebasan dan sikap berkecuali jawatankuasa dalam melaksanakan tugas mereka.
Al-Sharaa menerima draf akhir sistem pilihan raya sementara itu pada akhir Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Tertinggi Pilihan Raya Majlis Rakyat, Mohammad al-Ahmad berkata pada Rabu bahawa kawasan pilihan raya dibahagikan kepada 62 daerah.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan memulakan prosedur pada Khamis, bermula dengan menerima cadangan bagi keanggotaan badan pilihan raya di daerah baharu, diikuti proses pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.
Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember 2024 sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Ba'ath yang berkuasa sejak 1963.
Pentadbiran peralihan yang diketuai Sharaa dibentuk pada Januari lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami