Presiden Ukraine tuntut permohonan maaf rasmi dari Iran

Agensi
Januari 11, 2020 10:59 MYT
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya kini menantikan tindakan lanjut dari Tehran. - Gambar fail/REUTERS
Ukraine menuntut satu siasatan lengkap, pengakuan bersalah sepenuhnya dan pampasan sewajarnya dari Iran susulan pengakuan tentera negara itu telah ‘tersilap’ menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine Rabu lalu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya kini menantikan tindakan lanjut dari Tehran.
“Iran telah mengaku bersalah menjatuhkan pesawat Ukraine namun kami menuntut pengakuan bersalah penuh.
“Kami mengharapkan jaminan dari Iran yang negara itu bersedia untuk siasatan terbuka dan sepenuhnya. Membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, memulangkan mayat mereka yang terbunuh, pembayaran pampasan selain pemohonan maaf secara rasmi menerusi saluran diplomatik,” kata Zelenskiy.
BACA: Presiden Iran mohon maaf, tekad bawa pelaku kemuka pengadilan
BACA: Iran akhirnya mengaku tembak jatuh pesawat malang Ukraine
BACA: Pesawat bawa 180 penumpang terhempas di Iran
Iran pada Sabtu mengakui pihak tentera negara itu telah secara ‘tidak sengaja’ menembak jatuh pesawat penumpang milik Ukraine dan mengorbankan 176 penumpang meskipun sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam catatan Twitter beliau berkata selain 'kesilapan manusia', sikap ‘gemar mengambil risiko’ oleh Amerika Syarikat juga menyumbang kepada tragedi itu.
Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan oleh syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu, terhempas di pinggiran ibu kota Tehran sejurus berlepas, hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.
#Amerika Syarikat #Boeing #Iran #Iraq #mayat #penerbangan #pesawat #presiden #tembak jatuh #tembak jatuh pesawat #terhempas #Ukraine #Volodymyr Zelenskiy