DUNIA
Prinsip PBB 'sedang dikepung', Guterres beritahu Perhimpunan Agung

Guterres berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB, 23 Sept 2025. (Foto AP)
HAMILTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa memberi amaran bahawa prinsip-prinsip PBB "sedang dikepung" ketika beliau merasmikan sesi ke-80 Perhimpunan Agung di New York, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Tonggak keamanan dan kemajuan sedang goyah di bawah bebanan kebebasan daripada hukuman, ketidaksamaan dan sikap tidak peduli," katanya kepada para pemimpin dunia, sambil menekankan bahawa nilai asas penubuhan PBB sedang diuji dengan cara yang "lebih mendesak, lebih saling berkait dan lebih tidak berkompromi" berbanding semasa penubuhannya.
Menyentuh mengenai Gaza, Guterres memberikan gambaran suram dengan berkata: "Di Gaza, kengerian menghampiri tahun ketiga yang amat dahsyat." Beliau menyifatkan krisis itu sebagai "akibat daripada keputusan yang menentang nilai kemanusiaan asas."
Beliau memberi amaran bahawa "skala kematian dan kemusnahan melangkaui mana-mana konflik lain sepanjang tempohnya sebagai setiausaha agung."Guterres mengingatkan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan langkah-langkah sementara yang "mengikat secara sah" dalam kes genosid di Gaza, tetapi sejak itu "kebuluran telah diisytiharkan dan pembunuhan semakin meningkat."
Beliau menggesa agar langkah-langkah itu "dilaksanakan sepenuhnya dan serta-merta."
Menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk "bangkit menghadapi cabaran semasa," Guterres berkata badan itu "mesti melaksanakan tanggungjawabnya" dan menjadi "lebih mewakili, lebih telus dan lebih berkesan."
Menyoroti situasi kemanusiaan yang semakin buruk, beliau mengecam pemotongan bantuan sebagai "hukuman mati bagi ramai orang" dan "masa depan yang dirampas bagi lebih ramai lagi."
Selain konflik itu, Guterres menggesa para pemimpin dunia untuk memperhebat tindakan iklim, menekankan keperluan memperkukuh pelan nasional.
Beliau mengingatkan bahawa negara G20 "mesti memimpin, berlandaskan tanggungjawab bersama tetapi berbeza."
"80 tahun kemudian, kita sekali lagi berdepan dengan persoalan yang dihadapi oleh para pengasas kita: Dunia jenis apa yang kita pilih untuk bina bersama?" katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami