GENEVA: Somalia berdepan krisis kelaparan yang semakin meruncing dan berisiko bertukar menjadi kebuluran jika pembiayaan segera tidak diperoleh, menurut amaran Program Makanan Sedunia (WFP) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.
Dua musim hujan yang tidak berlaku, konflik serta kehilangan tempat tinggal menyebabkan jutaan penduduk mengalami tahap ketakjaminan makanan yang teruk, kata Pengarah Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan WFP Ross Smith, kepada wartawan di Geneva.
Advertisement
Kira-kira 4.4 juta orang, iaitu kira-kira satu perempat daripada populasi negara itu, kini berdepan tahap krisis kelaparan atau lebih buruk, katanya.
Menurut Smith, bantuan makanan dan pemakanan yang dapat menyelamatkan nyawa oleh WFP mungkin terpaksa dihentikan “dalam beberapa minggu” sekiranya sumber baharu tidak diperoleh.
Hampir dua juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut, termasuk lebih 400,000 yang mengalami kekurangan zat makanan akut teruk. Setengah juta orang pula kehilangan tempat tinggal dalam tempoh lima bulan lepas sahaja, menurut WFP.
Kekurangan dana memaksa pengurangan besar dalam bantuan. Ketika ini, WFP membantu kira-kira 640,000 orang, berbanding 2.2 juta setahun lepas, kata Smith, manakala sokongan pemakanan untuk wanita hamil dan kanak-kanak merosot lebih 75 peratus.
“Kita kini berada di ambang satu lagi detik penentuan,” kata Smith. “Tanpa tindakan segera, kita mungkin tidak dapat membantu golongan paling terdedah tepat pada masanya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.”
Agensi itu memberi amaran yang Somalia sekali lagi berada pada laluan yang sama seperti krisis kebuluran terdahulu, dengan tanda amaran awal yang jelas menyerupai situasi sebelum kebuluran 2011 dan keadaan hampir kebuluran pada 2022, yang berjaya dielakkan hasil bantuan kemanusiaan.
WFP menyatakan ia mempunyai kapasiti operasi untuk bertindak balas, namun memerlukan sokongan kewangan segera bagi mengelakkan bencana.
-- BERNAMA-ANADOLU