DUNIA
Program nuklear: Presiden Iran ikrar tidak akan tunduk kepada tekanan AS

Pezeshkian (gambar) menegaskan, rundingan dengan AS dan Eropah mengenai isu nuklear dijalankan mengikut rangka kerja yang ditetapkan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei. - Gambar fail/REUTERS
TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Rabu menegaskan bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada "keangkuhan Amerika" berhubung program nuklearnya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada agensi berita rasmi IRNA, Pezeshkian berkata rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengenai isu nuklear masih diteruskan.
Beliau menegaskan bahawa rundingan itu dijalankan mengikut rangka kerja yang ditetapkan oleh Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
"Kami tidak akan tunduk kepada keangkuhan," katanya. "Kami tidak akan sesekali menerima penghapusan penyelidikan nuklear kami hanya untuk menunggu kelulusan mereka bagi mendapatkan bahan nuklear yang kami perlukan untuk industri, perubatan, pertanian dan sains lain."Presiden AS Donald Trump pula menyatakan bahawa beliau "kurang yakin" berbanding "beberapa bulan lalu" mengenai kemungkinan mencapai perjanjian nuklear dengan Iran, menurut laporan itu.
Pusingan keenam rundingan nuklear Iran-AS dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di ibu negara Oman, Muscat, menurut jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei.
Iran dan AS menyambung semula rundingan diplomatik berhubung isu nuklear pada April dengan Oman bertindak sebagai pengantara. Sejak itu, lima pusingan telah diadakan di Muscat dan Rom.
Walaupun kedua-dua pihak mengakui terdapat sedikit kemajuan, kejayaan muktamad masih belum dicapai.
Pengayaan uranium menjadi isu utama dalam rundingan, dengan AS menuntut ia dihentikan manakala Iran bertegas untuk meneruskannya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami