Skip to main content

Politik

Tahanan rumah: 'Tabung RM50 juta bukan permintaan Najib, sebaliknya hasrat ahli UMNO’ - Ahmad Maslan

PONTIAN, 7 Mac -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap ketika temu bual eksklusif bersama Bernama di Pontian, di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad berkata, usaha berkenaan merupakan susulan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat sokongan kepimpinan serta ahli parti. - Gambar fail
Advertisement

PONTIAN: Kutipan tabung sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan atas permintaan beliau, sebaliknya hasrat ahli UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha berkenaan merupakan susulan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat sokongan kepimpinan serta ahli parti.

“Tabung ini bukan permintaan Najib. Ia cadangan Ahmad Zahid yang merupakan hasrat ahli dan kepimpinan di seluruh negara.

"Malah, ahli MKT UMNO juga menyokong usaha itu,” katanya selepas melawat tapak pembinaan Tadika Kemas di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi yang dijangka dibina dengan kos RM2.2 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta mana-mana pihak yang ingin memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela bagi membantu melunaskan denda berkenaan.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya meminta UMNO segera mewujudkan tabung khas berserta nombor akaun rasmi bagi memastikan kutipan sumbangan itu dapat diselaraskan di bawah satu tabung.

Tegas beliau, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan membuka tabung sendiri atas nama kutipan berkenaan.

“Tabung rasmi dengan nombor akaun dan bank perlu diumumkan oleh Ibu Pejabat UMNO agar kutipan itu boleh diselaraskan di bawah satu tabung sahaja,” jelasnya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement