Skip to main content

Sukan

Sivasangari berada pada landasan tepat menjelang Sukan Asia 2026 - Cross

Tough one last night, narrowly missing out after a close battle in my first Platinum semi final 💔   Gave everything I had out there. The small details make the difference at this level. Taking the positives and learning from it 🙏🏻
Cross berkata prestasi ketika berdepan pemain nombor satu dunia, Hania El Hammamy, membuktikan peningkatan konsisten Sivasangari. - Instagram @sivasangari_
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Skuasy Kebangsaan Andrew Cross percaya S. Sivasangari berada di landasan tepat menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun selepas memberi tentangan sengit kepada pemain nombor satu dunia Hania El Hammamy di Qatar Classic, semalam.

Jaguh skuasy negara itu mempamerkan aksi memberangsangkan di Doha, apabila mengheret pemain Mesir berkenaan ke lima permainan sebelum tewas tipis 11-8, 9-11, 13-15, 11-8, 10-12 dalam aksi separuh akhir yang sengit.

Cross berkata prestasi itu membuktikan peningkatan konsisten Sivasangari ketika berdepan pemain terbaik dunia, selain menyuntik keyakinan menjelang saingan Sukan Asia.

“Sudah tentu, dia semakin menghampiri tahap pemain yang mempunyai kedudukan lebih tinggi setiap kali berdepan mereka. 

“Itu separuh akhir pertamanya dalam kejohanan berstatus Platinum. Walaupun mendapat laluan mudah, dia sememangnya bergerak ke arah yang betul,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama-sama pemain kebangsaan di sini hari ini.

Cross berkata Sivasangari mempunyai peluang untuk memburu pingat emas, namun mengingatkan Sukan Asia bakal menghadirkan cabaran berbeza, khususnya dengan pemain Jepun Satomi Watanabe yang akan mendapat kelebihan beraksi di laman sendiri, selain beberapa pemain handalan lain turut perlu diberi perhatian.

“Sudah tentu, minggu depan akan menjadi sengit. Beraksi di Jepun, di gelanggang Satomi, bukan sesuatu yang mudah.

“Ia bukan semudah yang disangka, kerana saya fikir mereka berada di kedudukan kelima dan keenam dunia, termasuk beberapa pencabar lain juga perlu diberi perhatian. Kami tidak boleh memandang mudah mana-mana pemain dan perlu fokus sejak awal,” katanya.

Sementara itu, Cross berkata pemain lain turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam sesi latihan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus meyakinkannya dengan tahap persiapan pasukan sebelum berlepas ke Jepun esok.

“Para pemain berada dalam prestasi baik. Saya fikir mereka berlatih dengan sangat baik dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, khususnya minggu ini apabila kesemua pemain kelihatan berada pada tahap yang baik.

“Saya berpuas hati dengan tahap persiapan mereka dan kini terpulang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing minggu depan,” katanya.

Cross berkata Malaysia menyasarkan tiga pingat emas pada temasya itu dan percaya barisan pemain negara mampu merealisasikannya.

“Sivasangari beraksi dengan sangat baik malam tadi, manakala Yuen (Ng Eain Yow) juga melalui tempoh dua minggu yang baik. Persiapan berjalan sebaik yang diharapkan,” katanya.

Sivasangari dan Eain Yow dijangka menjadi antara pemain pilihan utama dalam acara perseorangan, yang turut menawarkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement