KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bermula di Grand Hyatt Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pertemuan sehari itu memberi tumpuan kepada komitmen yang masih belum diselesaikan di bawah Comprehensive Agreement on the Bangsamoro (CAB) yang dimeterai pada 2014.
Delegasi kerajaan Filipina diketuai Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Rekonsiliasi dan Perpaduan, Setiausaha Mel Senen Sarmiento, manakala panel MILF diketuai Mohagher Iqbal.
Malaysia pula diwakili fasilitator proses damai, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, yang memegang peranan itu sejak 2023.
Turut menyertai mesyuarat ialah Brig Jen (B) David B Diciano dan Sha Elijah B Dumama-Alba, yang terlibat dalam pelaksanaan landasan normalisasi masing-masing bagi pihak kerajaan Filipina dan MILF.
Mesyuarat itu menyusuli pertemuan terakhir kedua-dua panel pelaksana damai di Davao City pada Ogos lalu.
Antara perkara yang menjadi tumpuan ialah proses normalisasi termasuk decommissioning anggota dan senjata MILF, transformasi bekas kem serta keadilan peralihan dan rekonsiliasi.
Kedua-dua pihak juga sedang menuju ke arah Exit Agreement, yang akan menandakan berakhirnya secara rasmi proses damai GPH-MILF selepas semua komitmen di bawah CAB dipenuhi.
Rundingan damai GPH-MILF bermula pada 1997 sebelum membawa kepada pemeteraian CAB pada 2014, yang menjadi kerangka kepada proses damai Bangsamoro.
Dalam perkembangan terbaharu, Bangsamoro mengadakan pilihan raya Parlimen pertamanya pada 14 September lalu, menandakan peralihan daripada pentadbiran sementara kepada Parlimen yang dipilih rakyat.
Lebih dua juta pengundi keluar mengundi dengan kadar penyertaan 84.34 peratus, bagi memilih anggota Parlimen Bangsamoro yang mempunyai 80 kerusi.
Keputusan menyaksikan Bangsamoro Federalist Party (BFP) memperoleh 31 kerusi menerusi kerusi parti dan daerah, manakala United Bangsamoro Justice Party (UBJP) yang merupakan sayap politik MILF memperoleh 24 kerusi menerusi dua kategori itu.
Mesyuarat hari ini dijangka memberi tumpuan kepada baki komitmen CAB termasuk usaha membangunkan pelan hala tuju bagi melengkapkan pelaksanaannya.
Hasil Mesyuarat Khas itu dijangka dimaklumkan pada sidang media jam 5 petang ini.