THE HAGUE: Pendengaran awam mengenai akibat undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur didengar oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada Isnin.

Prosiding bermula dengan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki mengemukakan kenyataan, menyifatkan ia sebagai tanggungjawab besar bagi mewakili rakyat dan Palestin dalam prosiding bersejarah.

Riyad menegaskan, tindakan Israel merupakan pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai serta pelaksanaan dasar aparteid ke atas rakyat Palestin, yang mana ia tidak boleh dibenarkan sama sekali.

"Kami berbuat demikian dengan menjangkakan bahawa hak semua orang akhirnya akan dipenuhi, dan bukan dinafikan lagi. Dengan menentukan undang-undang dan kewajipan semua negara dan organisasi, mahkamah boleh membantu jalan menuju keamanan, dan keadilan serta menghormati undang-undang antarabangsa.

"Sejak beberapa dekad, rakyat Palestin melalui perjuangan yang menyakitkan untuk berdiri di hadapan anda hari ini (mahkamah).

"Kami merayu kepada mahkamah untuk menegakkan hak kami  dalam menentukan nasib sendiri, memulangkan semua hak asasi manusia termasuk dengan mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel adalah haram dan mesti ditamatkan serta-merta, sepenuhnya dan tanpa syarat," katanya dalam prosiding tersebut yang disiar secara langsung oleh ICJ, pada Isnin. 

Dalam prosiding sama, Riyad turut membentangkan lima peta kepada mahkamah termasuk peta wilayah berdaulat Palestin dan Pelan Pembahagian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1947.

Sementara itu peguam yang mewakili Palestin, Paul Reichler menyenaraikan beberapa faktor yang menunjukkan pendudukan Israel adalah menyalahi undang-undang kerana ia bersifat kekal.

Menurut beliau, adalah jelas bahawa di bawah undang-undang antarabangsa, pendudukan hanya boleh berlaku dalam keadaan sementara.

"Apa yang menjadikan pendudukan Israel menyalahi undang-undang adalah kerana sifatnya yang kekal.

"Saya akan menunjukkan bahawa berdasarkan fakta yang terpakai dan tidak dipertikaikan, pendudukan Israel selama 56 tahun di wilayah Palestin adalah jelas dan sangat menyalahi undang-undang dan undang-undang antarabangsa yang menghendaki bahawa ia akan ditamatkan sepenuhnya dan tanpa syarat," tambahnya.

Sebelum itu, Presiden baharu ICJ, Nawaf Salam menggariskan kes berkenaan, dengan mahkamah dijadual mendengar taklimat daripada 52 negara, selain Kesatuan Afrika, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab.

Sesi berkenaan berlangsung selama enam hari dari 19 hingga 26 Februari.

Ia berdasarkan permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperoleh nasihat daripada mahkamah mengenai kesan pendudukan Israel yang berterusan selama lebih 57 tahun.