DUNIA
Protes besar-besaran dari Amsterdam ke Istanbul kecam genosid Israel di Gaza

Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di Amsterdam, Belanda, menuntut kerajaan mereka mengambil tindakan lebih tegas untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel di Gaza. - Foto AP
RATUSAN ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama di Eropah dan Asia Barat hujung minggu ini, mengecam tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai genosid dan menuntut gencatan senjata serta keadilan kemanusiaan.
Ringkasan AI
- Ratusan ribu penunjuk perasaan dari Amsterdam hingga Istanbul turun ke jalan mengecam tindakan Israel di Gaza dan menuntut gencatan senjata serta keadilan kemanusiaan.
- Protes di Belanda berlaku menjelang pilihan raya umum, manakala demonstrasi di Turkiye, Maghribi dan Bulgaria menyeru perpaduan Islam dan pembatalan hubungan diplomatik dengan Israel.
- Amnesty International dan aktivis hak asasi menggesa kerajaan Eropah bertindak secara ekonomi dan diplomatik, sementara Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan dengan lebih 67,000 kematian.
“Pertumpahan darah mesti dihentikan. Kami berdiri di sini kerana kerajaan terlalu lemah untuk menetapkan sempadan jelas terhadap Israel,” kata Marieke van Zijl, salah seorang peserta protes.
Amnesty International dan kumpulan hak asasi lain menggesa kerajaan Eropah menggunakan semua saluran ekonomi dan diplomatik untuk menekan Israel agar menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.
Di Istanbul, ribuan rakyat Turkiye berarak dari Masjid Hagia Sophia ke tebing Golden Horn, diiringi bot-bot yang dihiasi bendera Palestin dan Turki.
Penunjuk perasaan menyeru perpaduan umat Islam dalam menentang penindasan Israel.
Protes serupa turut berlangsung di Ankara dan Kirikkale, dengan peserta membawa sepanduk bertulis “Gaza: Genosid Sedang Berlaku”.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, terus menjadi pengkritik lantang terhadap Israel, menuduh Tel Aviv melakukan jenayah perang dan menindas rakyat Palestin sejak 1948.
Di Rabat, Maghribi, penunjuk perasaan membakar bendera Israel dan menuntut kerajaan membatalkan normalisasi hubungan diplomatik yang dimeterai pada 2020.
Di Sofia, Bulgaria, peserta membawa plakad bertulis “Gaza: Kelaparan Sebagai Senjata Perang” dan “Gaza Kubur Terbesar Kanak-Kanak”.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 67,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak konflik bermula dua tahun lalu, dengan wilayah itu kini di ambang kebuluran.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami