Protes pro-demokrasi yang berlangsung di Hong Kong menyebabkan sekolah dan premis perniagaan ditutup walaupun bursa saham di bandar itu dikatakan akan terus beroperasi seperti biasa.

Beberapa pengguna perkhidmatan awam yang mahu ke tempat kerja terkandas ekoran penunjuk perasaan terus berdegil dan mengawal beberapa jalan utama di bandar tersebut.

Wartawan AFP yang berada di Mongkok, salah sebuah pinggir bandar paling padat dengan penduduk yang juga merupakan lokasi kedua protes di pelabuhan di Kowloon – menyaksikan ketegangan di antara penunjuk perasaan dan orang awam yang kecewa dengan protes tersebut.

Bank, kedai barangan kemas dan kedai pakaian di daerah membeli-belah tersibuk itu terus ditutup.

Jabatan Pengangkutan berkata lebih daripada dua ratus laluan bas terpaksa digantung atau dialihkan manakala rangkaian trem di bahagian tengah telah dihentikan.

Perkhidmatan kereta api bawah tanah di bandar itu sebahagian besarnya tidak terjejas namun beberapa stesen keluar daerah terpaksa ditutup selepas penunjuk perasaan menyekat lokasi itu dengan penghadang.

Beberapa jalan keluar dari Mongkok juga terpaksa ditutup.

Sementara itu, Biro Pendidikan berkata sekolah-sekolah yang terletak di lokasi penunjuk perasaan berkumpul akan ditutup dan keluarga digesa “meletakkan keselamatan sebagai keutamaan”.

Bursa saham di bandar itu akan terus beroperasi seperti biasa namun sebanyak 17 bank terpaksa menutup 29 cawangan mereka di seluruh bandar itu.

Antara bank yang terjejas termasuk Standard Chartered, HSBC Holdings, Bank of East Asia, Bank of China dan CITIC.

Pihak kerajaan turut mengumumkan kesemua mesyuarat jawatankuasa di bangunan perundangan bandar itu, yang menjadi lokasi perhimpunan utama turut dibatalkan.