HONG KONG: Hong Kong menerima hampir 56 juta pelawat setahun sebelum pandemik menyerang dunia dan kini destinasi popular itu mengambil inisiatif untuk menarik pelancong kembali ke negara itu.

Selepas beberapa hari memansuhkan syarat wajib kuarantin di hotel, Hong Kong mengesahkan rancangan memberikan setengah juta tiket penerbangan percuma dalam usaha menaikkan semula industri pelancongan.

Memetik laporan CNN, jurucakap pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK) yang pernah mengumumkan inisiatif ini pada 2020 memaklumkan sebanyak 500,000 tiket bernilai sekitar $254.8 juta (RM150.93 juta) bakal disalurkan kepada pelawat dari luar termasuk penduduk Hong Kong.

"Pada tahun 2020, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong membeli sekitar 500,000 tiket penerbangan lebih awal daripada syarikat penerbangan tempatan sebagai sebahagian daripada pakej bantuan menyokong industri penerbangan.

"Pembelian itu bertujuan untuk menyuntik dana ke dalam syarikat penerbangan, manakala tiket akan diberikan kepada pelawat global dan penduduk Hong Kong dalam kempen pemulihan industri pelancongan,” kata jurucakap.

Butiran lanjut akan diumumkan sebaik sahaja perjanjian pelaksanaan berkaitan telah dibuat dengan syarikat penerbangan.

Namun begitu, pelawat ke Hong Kong masih perlu mengikuti peraturan selepas tiba di Hong Kong iaitu wajib menyerahkan sijil vaksinasi pra-penerbangan serta ujian PCR dengan keputusan negatif dan ujian antigen pantas sebelum memasuki Hong Kong.

Sebaik sahaja mereka dibenarkan masuk, pelawat dikehendaki menjalani tempoh pemantauan kendiri selama tiga hari di mana mereka dilarang makan di restoran atau mengunjungi bar.

Pelawat juga perlu melengkapkan ujian PCR pada hari kedua, keempat dan keenam selepas  ketibaan dan ujian antigen pantas setiap hari sepanjang tujuh hari.