WASHINGTON: Putera Harry bertafakur beberapa minit sebagai tanda simpati dan penghormatan berikutan kematian pemain polo terkenal, Datuk Chevy Beh.

Portal tempatan Hello! melaporkan, Putera Britain itu menanggalkan topi yang dipakainya bagi memperingati mendiang yang sepatutnya menyertai pasukan Royal Salut pada sukan amal Kejohanan Piala Sentebale ISPS Handa Polo yang diadakan pada Khamis.

Chevy Beh yang menyertai BP Healthcare Group selaku Pengarah Urusan sebelum menubuhkan platform penjagaan kesihatan dalam talian dan mobile, Bookdoc pada 2014 bukan sahaja seorang usahawan yang berjaya malah pernah menjadi kapten pasukan polo di bawah 21 England menentang Putera Harry dan Putera William.

Duke of Sussex juga kemudian menanggalkan topinya sebagai simbol penghormatan ketika lagu kebangsaan Amerika dimainkan sebelum kejohanan itu dimulakan.

Kejohanan itu menampilan penampilan Putera Harry bersama rakannya, Nacho dalam pasukan Sentebale menentang pasukan Persatuan Polo Amerika Syarikat.

Kejohanan itu merupakan acara tahunan untuk mengutip dana bagi kerja-kerja amal untuk disalurkan kepada kebajikan penduduk muda di Lesotho dan Botswana.

Mendiang Chevy Beh yang juga pengasas Bookdoc dilapor meninggal dunia pada Selasa lalu, namun punca kematian tidak didedahkan.

Chevy memulakan kerjaya sebagai pegawai bank pelaburan bersama firma pelaburan terkenal Amerika Syarikat selepas beliau tamat pengajian di Universiti Harvard.

Di bawah kepimpinan beliau, BP berjaya meningkatkan asas pelanggan mereka melebihi dua juta orang, meningkatkan jumlah tenaga kerja kepada 1,300 orang.

Kumpulan itu juga memainkan peranan penting sewaktu proses vaksinasi COVID-19 negara melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Selain itu ia juga dilantik sebagai penyedia ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja di bawah Program Saringan Prihatin Perkeso.