Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Bukan laluan mudah di Kota Laksamana dan Bandar Hilir - Wee Ka Siong

Wee Ka Siong ketika mengiringi calon BN bagi DUN Klebang, Lim Ban Hong ke pusat penamaan calon. - Astro AWANI
Wee Ka Siong ketika mengiringi calon BN bagi DUN Klebang, Lim Ban Hong ke pusat penamaan calon. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

MELAKA: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan pertaruhan parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan Bandar Hilir bukanlah satu laluan yang mudah buat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Mengulas berhubung keputusan penyerahan dua kerusi DUN baharu iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir kepada MCA, Wee Ka Siong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, langkah berkenaan juga selari dengan pandangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mengiktiraf MCA sebagai parti yang lebih sesuai dan layak bertanding di kawasan tersebut.

Advertisement

“Setiap pelusuk dan DUN di negeri ini sememangnya menjadi tumpuan kita sejak dulu lagi dan apabila pimpinan mengakui dan memberi ‘endorsement’ (sokongan), ini membuktikan kebersamaan dalam Barisan Nasional.

“Saya rasa kita tak pernah tinggalkan warga tempatan, tak kira di peringkat parlimen ataupun DUN dan apatah lagi DUN Kota Laksamana ini adalah kawasan yang kita tandingi sejak dulu sampai sekarang,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon BN bagi DUN Klebang, Lim Ban Hong ke pusat penamaan calon.

Mengulas lanjut, Wee Ka Siong tidak menafikan bahawa dua kawasan majoriti pengundi Cina berkenaan merupakan kubu kuat parti lawan (DAP) yang telah dimenangi mereka selama beberapa penggal.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa jentera BN tidak akan menyerah kalah dengan mudah sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip ‘lawan tetap lawan’ bagi merebut setiap undi.

"Kita sedar bahawa dalam keadaan ini bukan mudah kerana ini kubu kuat parti lawan. Sudah tentulah kita kena menggembelingkan tenaga yang lebih untuk memastikan kita dapat setiap undi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menganggap pilihan raya ini sebagai satu 'referendum' rakyat bagi menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah memerintah sebelum ini.

Beliau yakin rakyat Melaka berhak membuat perbandingan dari segi pembangunan serta kemakmuran negeri, dan mandat baharu perlu diberikan demi memastikan kestabilan politik.

Kestabilan berkenaan, tambahnya, penting untuk terus menjadikan Melaka sebuah negeri yang makmur, teratur, serta kekal sebagai destinasi tumpuan pelabur dan pelancong antarabangsa.

 

 

Must Watch Video

Advertisement