MELAKA: Perjalanan jauh dengan mengayuh basikal dari Gemas, Negeri Sembilan ke Bukit Katil tidak menghalang seorang warga emas, Sitdek Ahmad Ali, 68, untuk hadir menyaksikan sendiri proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Bagi Sitdek, mengayuh sejauh kira-kira 70 kilometer itu bukan sekadar untuk sampai ke destinasi, sebaliknya peluang menyaksikan secara dekat proses demokrasi serta memberikan sokongan kepada bakal pemimpin yang akan dipilih rakyat.
Sitdek memulakan kayuhan dari kampung halamannya di Gemas pada pagi semalam sebelum tiba di Bukit Katil kira-kira 4 pagi tadi, selepas mengharungi perjalanan sepanjang malam.
“Saya datang sebab nak tengok proses penamaan calon selain mahu menyatakan sokongan kepada semua calon yang akan bertanding.
“Bukan selalu kita dapat menyaksikan proses seperti ini secara dekat, jadi saya ambil peluang untuk datang sendiri,” katanya kepada Bernama di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini hari ini.
Sitdek berkata selepas tiba di kawasan berkenaan, dia mengambil kesempatan berehat di sebuah surau berhampiran sebelum kembali ke pusat penamaan calon kira-kira 7.30 pagi.
Bukan itu sahaja, Sitdek turut berhasrat mengunjungi beberapa lagi pusat penamaan calon lain sekiranya mempunyai kesempatan, bagi mengikuti perkembangan proses demokrasi di negeri ini.
Minatnya terhadap aktiviti kayuhan jarak jauh bukan perkara baharu apabila pernah melakukan ekspedisi berbasikal sejauh 2,500 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia pada 2019 bagi mengumpul dana untuk merealisasikan impian berbasikal ke Makkah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
-- BERNAMA