Skip to main content

Dunia

Putera Harry, Meghan akhirnya kembali menetap di UK

FILE PHOTO: Britain's Prince Harry and Meghan, the Duke and Duchess of Sussex, arrive at Rushcutters Bay following a sail on Sydney Harbour with veterans from the Invictus Australia community, in Sydney, Australia, April 17, 2026. REUTERS/Hollie Adams/File Photo
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, dilaporkan tiba di United Kingdom bersama dua anak mereka, Archie dan Lilibet. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, dilaporkan tiba di United Kingdom (UK) bersama dua anak mereka, Archie dan Lilibet, hanya beberapa hari selepas mengumumkan hasrat untuk kembali menetap di Britain.

Menurut laporan BBC, keluarga Sussex dipercayai menaiki penerbangan persendirian dari California dan mendarat di Birmingham sebelum tengah hari waktu tempatan.

Jurucakap Duke dan Duchess of Sussex bagaimanapun enggan mengulas mengenai ketibaan mereka.

Sumber memberitahu BBC bahawa tiada kehadiran polis yang ketara ketika Harry dan keluarganya meninggalkan lapangan terbang.

Minggu lalu, media melaporkan bahawa pasangan itu akan berpindah semula ke UK pada Ogos. 

Namun, mereka tidak akan kembali menjalankan tugas rasmi diraja dan sebaliknya menetap di negara itu sebagai kerabat diraja yang tidak bekerja.

Keluarga tersebut dipercayai akan menjadikan sebuah kediaman persendirian di kawasan Cotswolds, di luar London, sebagai tempat tinggal tetap mereka.

Archie dan Lilibet juga dilaporkan telah didaftarkan di sekolah, dengan sesi persekolahan baharu dijadual bermula minggu depan.

Walaupun tidak mengesahkan ketibaan keluarga itu di UK, jurucakap Sussexes memaklumkan, ayam peliharaan yang diselamatkan pasangan tersebut akan kekal berada di California, manakala dua ekor anjing mereka, Mia dan Pula, dibawa bersama ke Britain.

Ayam-ayam tersebut sebelum ini sering dipaparkan dalam hantaran Instagram Meghan selain turut muncul dalam program Netflix kendaliannya.

Harry dan Meghan meninggalkan UK pada awal 2020 serta melepaskan peranan sebagai anggota kanan keluarga diraja sebelum menetap di California pada Mac tahun yang sama.

Raja Charles III dilaporkan dimaklumkan mengenai perpindahan itu awal bulan ini. 

Keluarga Sussex turut mengunjungi baginda di kediaman Highgrove pada Julai lalu, namun difahamkan isu perpindahan berkenaan tidak dibincangkan ketika pertemuan tersebut.

Sebelum lawatan itu, kali terakhir Harry dan Meghan berada bersama di UK adalah ketika menghadiri upacara pengebumian Ratu Elizabeth II pada 2022.

Putera dan Puteri Wales, William dan Catherine, juga dilaporkan telah dimaklumkan mengenai rancangan pasangan itu.

Sementara itu, aspek keselamatan keluarga Sussex di UK terus menjadi perdebatan sejak berita kepulangan mereka tersebar.

Tahun lalu, Putera Harry gagal dalam cabaran undang-undang berhubung tahap perlindungan keselamatan yang diberikan kepada beliau dan keluarganya ketika berada di Britain.

Beliau sebelum itu berusaha membatalkan keputusan yang mengurangkan tahap perlindungan keselamatannya selepas tidak lagi menjalankan tugas rasmi diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat.

Setakat ini, belum jelas bentuk perlindungan keselamatan yang akan diberikan kepada keluarga itu di UK serta pihak yang akan menanggung kos berkenaan.

Selepas pengumuman kepulangan Sussexes dibuat, jurucakap Home Office memaklumkan bahawa keputusan berkaitan keselamatan anggota keluarga diraja ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif bagi Perlindungan Kerabat Diraja dan Tokoh Awam (Ravec), sambil menegaskan sistem keselamatan perlindungan kerajaan UK adalah "ketat dan seimbang".

Harry sebelum ini beberapa kali menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan sebagai faktor yang menghalangnya daripada membawa isteri dan anak-anak kembali ke UK.

Bulan lalu, beliau bersama enam individu terkenal lain turut tewas dalam kes privasi di Mahkamah Tinggi terhadap penerbit Daily Mail dan Mail on Sunday.

Mereka kini berdepan kemungkinan perlu membayar sehingga 34.5 juta pound kepada Associated Newspapers bagi menampung kos perundangan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement