LONDON: Putera Harry dan Meghan Markle dilaporkan terkejut dengan surat yang dikeluarkan bagi pihak Raja Charles III yang menegaskan bahawa mereka kekal sebagai kerabat diraja bukan bekerja, meskipun pasangan itu telah kembali menetap di United Kingdom (UK).
Jurucakap Duke dan Duchess of Sussex berkata, pasangan itu "agak terkejut" kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai surat berkenaan.
Bagaimanapun, sumber istana menegaskan, Harry dan Meghan telah dimaklumkan mengenai kandungan surat tersebut, yang dihantar pada petang Isnin, sebelum ia didedahkan kepada umum.
Difahamkan, sebuah jawatankuasa keselamatan yang turut melibatkan wakil Kementerian Dalam Negeri Britain akan bermesyuarat minggu ini bagi menilai tahap perlindungan keselamatan yang dibiayai pembayar cukai untuk pasangan Sussex yang kini menetap di UK.
Jawatankuasa Eksekutif Diraja dan VIP (Ravec) bertanggungjawab menentukan tahap keselamatan bagi kerabat diraja dan tokoh awam.
Sebelum ini, Putera Harry pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tahap perlindungan polis yang diterimanya ketika berada di Britain.
Kementerian Dalam Negeri Britain bagaimanapun enggan mengulas mengenai proses membuat keputusan itu dan tidak dijangka mendedahkan hasil perbincangan jawatankuasa berkenaan.
"Sistem keselamatan perlindungan di UK dilaksanakan secara ketat dan seimbang. Menjadi dasar kami untuk tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai pengaturan tersebut kerana ia boleh menjejaskan integriti sistem serta keselamatan individu terlibat," kata jurucakap kementerian itu.
Mengenai dakwaan Harry dan Meghan yang terkejut dengan mesej Raja Charles, sumber memaklumkan perkara itu lebih merujuk kepada tempoh masa yang singkat diberikan kepada mereka untuk memberi respons.
Mereka dipercayai hanya menerima salinan surat itu kira-kira sejam sebelum ia dikongsi kepada media.
Ketika pasukan mereka cuba menghubungi Putera Harry, surat berkenaan hampir diterbitkan.
Surat yang dihantar bagi pihak Raja Charles itu memperincikan status Harry dan Meghan sebagai kerabat diraja bukan bekerja selepas mereka kembali dari California bersama dua anak mereka, Archie dan Lilibet, bulan lalu.
Menurut surat yang dihantar oleh Lord Chamberlain, pegawai kanan Istana Buckingham, pasangan itu masih tidak dibenarkan menggunakan gelaran His Royal Highness (HRH) dan Her Royal Highness (HRH), serta kekal sebagai "warganegara persendirian."
Sumber istana berkata, surat tersebut dihantar kepada pasukan Putera Harry, beberapa jabatan kerajaan, pegawai tentera dan Lord Lieutenant di seluruh UK.
Lord Lieutenant merupakan wakil rasmi Raja di kawasan masing-masing dan sering terlibat dalam penganjuran lawatan serta program rasmi kerabat diraja.
Surat itu dengan jelas menyatakan bahawa sebarang program atau penampilan yang melibatkan Harry dan Meghan pada masa depan adalah atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili Keluarga Diraja Britain.
Ia dilihat sebagai peringatan rasmi bahawa sebarang lawatan atau penugasan yang dijalankan pasangan Sussex tidak boleh dianggap sebagai acara rasmi diraja.
Perkembangan itu berlaku menjelang beberapa siri penampilan awam yang dijangka dilakukan pasangan berkenaan pada musim luruh ini ketika mereka menyesuaikan diri semula di UK serta meneruskan aktiviti kebajikan masing-masing.
Mesej Raja Charles turut menegaskan bahawa kedudukan yang dipersetujui dalam Perjanjian Sandringham pada 2020 masih kekal berkuat kuasa.
Perjanjian itu menetapkan Harry dan Meghan tidak boleh menikmati status "separuh masuk, separuh keluar" yang membolehkan mereka menjalankan aktiviti komersial sendiri sambil terus berperanan sebagai kerabat diraja bekerja.
"Sudah diketahui umum bahawa pada Januari 2020, Duke dan Duchess of Sussex melepaskan tanggungjawab mewakili Raja dan mereka bukan lagi anggota Keluarga Diraja yang menjalankan tugas rasmi," menurut kandungan surat itu.
Surat berkenaan turut menegaskan bahawa kerja kebajikan yang dijalankan Harry dan Meghan adalah urusan peribadi dan dilakukan atas kapasiti mereka sendiri.
Putera Harry dijangka meneruskan sokongannya terhadap beberapa badan amal termasuk Invictus Games yang dijadual berlangsung di Birmingham tahun depan.
Sementara itu, terdapat laporan bahawa Meghan sedang mempertimbangkan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
Menyentuh soal keselamatan, surat tersebut menyatakan bahawa sebarang isu berkaitan perlindungan keselamatan operasi perlu terus dirujuk kepada pihak berkuasa polis yang berkaitan. - Agensi