'Rahayu' dihantar pulang ke Malaysia hari ini selepas dijaga dengan baik di sini di Singapura selama hampir 16 bulan.

'Rahayu', penyu spesies Malayan dilaporkan dijumpai sedang melintas jalan di Lim Chu Kang dengan kail melekat dalam mulutnya pada Oktober 2015.

Ia diselamatkan oleh seorang pemandu yang membawanya ke ACRES atau Animal Concerns Research and Education Society of Singapore.

Tidak diketahui bagaimana haiwan itu melakukan perjalanan ke Singapura.

"Bukan mudah untuk menghantar haiwan ini pulang ke tanah air tetapi Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia akan menerima 'Rahayu' di Johor dan akan dilepaskan kembali ke habitatnya," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Tan Chuan-Jin dalam catatan di Facebook beliau hari ini.


Spesies ini semakin pupus dan juga diburu untuk dagingnya - Gambar Facebook - @TanChuanJin1

Tan turut memuat naik empat keping gambar dan satu video semasa beliau membantu mempersiapkan 'Rahayu' untuk melakukan perjalanan pulang ke Malaysia.

"Berjumpa Rahayu. Ia seekor Penyu Malayan dewasa seberat 30 kg dan bukan spesies tempatan di sini," tulis beliau.

"Tampaknya penyu betina ini telah dibela sebagai haiwan kesayangan dan diabaikan. Spesies ini semakin pupus dan juga diburu untuk dagingnya.

"Kita semua boleh membantu dengan tidak memujudkan permintaan bagi haiwan kesayangan eksotik dan diancam kepupusan, menyalurkan maklumat bila perlu dan meningkatkan kesedaran," tulis beliau selanjutnya.

Sementara itu, Channel NewsASia yang memetik kenyataan ACRES melaporkan penyu gergasi Malaysia yang semakin pupus itu dihantar pulang ke Malaysia untuk diberikan peluang kedua untuk hidup bebas di habitatnya.

Laporan itu menyatakan penyu itu merupakan reptilia pertama yang masih hidup dihantar pulang oleh ACRES.

Ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa di Johor, dan akan dilepaskan di habitat semulajadi yang dilindungi di utara Malaysia.


ACRES perlu menentukan yang haiwan itu sihat untuk dilepaskan ke habitat semulajadi - Gambar Facebook - @TanChuanJin1

Sebelum dihantar pulang, laporan itu berkata ACRES perlu menentukan yang haiwan itu sihat untuk dilepaskan ke habitat semulajadi dan memohon permit untuk menghantar haiwan itu menyeberangi sempadan.

Seluruh proses itu boleh mengambil masa sehingga satu bulan setengah, menurut timbalan ketua eksekutif pertubuhan kebajikan itu, Kalai Balakrishnan.

"Kami perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara yang kami akan hantar pulang haiwan ini. Untuk berunding bagaimana cara kami mahu menghantarnya pulang, dan sama ada haiwan ini akhirnya akan dilepaskan," menurut Balakrishnan yang dipetik berkata demikian.

-- BERNAMA