OSLO: Raja Norway, Raja Harald V, dimasukkan ke hospital dan diberikan cuti sakit selama dua minggu selepas mengalami pengumpulan cecair dalam badan yang memerlukan rawatan lanjut, menurut kenyataan Istana Diraja Norway pada Isnin.
Raja berusia 89 tahun itu, yang merupakan antara raja paling lama memerintah di Eropah, sedang menerima rawatan kortison sejak beberapa minggu lalu bagi penyakit darah jarang berlaku iaitu anemia hemolitik.
Keadaan itu menyebabkan sel darah merah berkurangan dan boleh mengakibatkan keletihan serta sesak nafas.
Pihak istana memaklumkan pengumpulan cecair tersebut berpunca daripada rawatan yang diterima baginda dan memerlukan pemantauan serta rawatan di hospital.
Putera Mahkota Haakon, 53, akan menjalankan tugas sebagai pemangku raja sepanjang tempoh cuti sakit itu.
Raja Harald menaiki takhta Norway pada Januari 1991 dan sebelum ini menegaskan beliau tidak bercadang untuk turun takhta.
Pada April 2024, istana mengumumkan baginda akan mengurangkan secara kekal aktiviti rasmi atas faktor usia.
Kesihatan Raja Harald menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, baginda dipasang alat perentak jantung selepas jatuh sakit ketika bercuti di Malaysia, manakala pada Februari lalu baginda menerima rawatan di Tenerife, Sepanyol akibat jangkitan dan dehidrasi.
Permaisuri Sonja juga dimasukkan ke hospital pada Mei lalu untuk pemerhatian dan pemeriksaan susulan masalah jantung.
Keluarga diraja Norway turut berdepan beberapa kontroversi kebelakangan ini, termasuk pengakuan Puteri Mahkota Mette-Marit yang kesal pernah berhubung dengan pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein, serta sabitan kes rogol terhadap anak lelakinya, Marius Borg Hoiby, pada Jun lalu.