BINTANG popular India, Rajinikanth membatalkan hasrat menyertai dunia politik atas faktor kesihatan, yang dianggap satu petanda dari Tuhan.

Pelakon berusia 70 tahun itu mengumumkan perkara itu di Twitter rasminya pada Selasa, beberapa hari selepas keluar daripada hospital kerana dirawat akibat mengalami tekanan darah tinggi.

“Dengan penuh dukacita, saya tidak akan menyertai politik. Saya sendiri tahu betapa sakitnya semasa mengumumkan perkara ini,” kata pelakon filem Bloodstone dan Annaatthe itu dalam ciapan Twitter.

"Dimasukkan ke hospital adalah amaran dari Tuhan. Kempen saya pasti akan meninggalkan kesan terhadap kesihatan saya di tengah-tengah penularan COVID-19," tambahnya.

Rajinikanth atau nama sebenar Shivaji Rao Gaekwad mengumumkan ingin menyertai landskap politik dan menubuhkan parti politik sendiri yang asalnya akan diumumkan pada 31 Disember ini. 


Sementara itu, beliau meminta maaf kepada peminat-peminatnya dan ahli Rajini Makkal Mandram dan berjanji akan berbakti kepada mereka walaupun bukan berada dalam dunia politik.

Sejak 2017, pelakon yang merupakan antara pelakon dengan bayaran tertinggi di Asia itu menyatakan hasrat ingin menyertai politik, menyebabkan para peminatnya tertunggu-tunggu.

Awal bulan ini, beliau mengumumkan akan memperkenalkan politik yang lebih “jujur dan terbuka” kepada negeri Tamil Nadu.

Oktober lalu, Rajinikanth berkata beliau dinasihati oleh doktor supaya tidak berada di kawasan panas dan berhabuk yang boleh menyebabkan tahap kesihatannya merosot dan sekali gus menyebabkan beliau menjadi sasaran jangkitan COVID-19.