DUNIA
Rakyat Afika Selatan perhebat kempen mengasingkan Israel

Aktivis mengangkat plakad dan melaungkan slogan di luar Kedutaan Israel di Pretoria, Afrika Selatan. - Foto REUTERS
JOHANNESBURG: Kempen rakyat Afrika Selatan untuk mengasingkan Israel semakin rancak, dengan desakan agar kerajaan mengenakan sekatan penuh, memutuskan hubungan diplomatik, dan menghentikan eksport arang batu ke negara itu susulan konflik berterusan di Gaza.
Ringkasan AI
- Aktivis dan gerakan BDS mendesak kerajaan mengenakan sekatan penuh, menutup Kedutaan Israel, dan menghentikan eksport arang batu susulan konflik Gaza.
- Lebih 3,000 peserta perarakan menyerahkan petisyen kepada Parlimen, menuntut penggubalan undang-undang apartheid untuk menguatkuasakan Konvensyen PBB.
- Negara itu terus memainkan peranan lantang di pentas antarabangsa, menyeru tindakan konkrit bagi menghentikan kekejaman dan memperjuangkan keadilan rakyat Palestin.
Afrika Selatan sebelum ini membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Namun, aktivis tempatan menyatakan bahawa tindakan undang-undang sahaja tidak mencukupi.
Lebih 3,000 orang menyertai perarakan di Cape Town baru-baru ini, membawa sepanduk bertulis “Jangan hanya rasa simpati, lakukan sesuatu” dan menyerahkan petisyen kepada Parlimen.
Mereka menuntut penggubalan “Rang Undang-Undang Apartheid” untuk menguatkuasakan Konvensyen PBB mengenai Jenayah Apartheid yang telah diratifikasi oleh Afrika Selatan.
Menurut angka rasmi dari pihak berkuasa Gaza, lebih 67,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak serangan balas Israel bermula, manakala lebih 170,000 lagi cedera.
Sekatan ke atas bekalan asas turut menyebabkan kebuluran yang meragut ratusan nyawa, termasuk kanak-kanak.
Muhammed Desai dari Africa4Palestine menyatakan bahawa keberanian kerajaan Afrika Selatan harus disusuli dengan tindakan lebih tegas.
“Kita perlu hentikan semua bentuk kerjasama, termasuk perdagangan dan pertukaran budaya. Jika tidak, kita tetap bersubahat,” katanya.
Afrika Selatan, yang pernah menjadi simbol perjuangan menentang apartheid, kini dilihat sebagai suara lantang dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin di pentas antarabangsa.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami