Skip to main content

Dunia

Rating kelulusan Trump jatuh kepada 33 peratus, terendah sepanjang kepimpinan

U.S. President Donald Trump attends an event to sign executive orders related to birthright citizenship and the polysilicon industry, in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., August 6, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang selesai dijalankan pada Isnin, hanya 33 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Presiden Trump di White House, manakala 64 peratus tidak bersetuju dengan cara beliau mentadbir negara. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Rating kelulusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, merosot kepada 33 peratus, iaitu paras terendah sepanjang tempoh kepimpinannya pada penggal kedua.

Menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang selesai dijalankan pada Isnin, hanya 33 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Trump di White House, manakala 64 peratus tidak bersetuju dengan cara beliau mentadbir negara.

Angka itu menurun daripada 35 peratus yang direkodkan dalam tinjauan awal bulan ini dan merupakan kadar sokongan paling rendah sepanjang penggal semasa Trump.

Ia turut menyamai tahap terendah yang pernah dicatatkannya ketika penggal pertama pentadbirannya pada Disember 2017.

Selepas kembali ke White House pada 2025 dengan sokongan hampir separuh daripada rakyat Amerika, populariti Trump dilihat merosot susulan keputusannya melancarkan serangan terhadap Iran bersama sekutunya, Israel.

Konflik yang tercetus selepas itu telah mengganggu hampir satu perlima perdagangan minyak dunia, sekali gus menyebabkan harga petrol meningkat dan memberi tekanan kepada isi rumah di AS. 

Situasi itu juga menimbulkan cabaran kepada Parti Republikan yang sedang berusaha mempertahankan penguasaan mereka dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November depan.

Trump sebelum ini berkempen dengan janji untuk mengawal inflasi dan mengelakkan penglibatan dalam peperangan berpanjangan. 

Beliau pada awalnya menjangkakan konflik dengan Iran hanya akan berlangsung selama beberapa minggu serta mempertahankan tindakan ketenteraan itu sebagai langkah bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.

Bagaimanapun, Iran terus menunjukkan daya tahan dan masih mengekalkan sekatan terhadap pergerakan perdagangan minyak melalui Selat Hormuz walaupun ketegangan konflik dilihat semakin reda.

Tinjauan itu turut mendapati, 80 peratus rakyat AS percaya penglibatan negara itu dalam konflik Iran akan berlarutan untuk tempoh yang panjang. 

Pandangan itu dikongsi oleh 87 peratus penyokong Demokrat dan 71 peratus penyokong Republikan.

Hanya 16 peratus responden berpendapat konflik berkenaan berkemungkinan berakhir dalam tempoh beberapa minggu.

Tinjauan dalam talian itu melibatkan 1,166 orang dewasa di seluruh AS dengan margin ralat kira-kira tiga mata peratusan. - Reuters

Must Watch Video

Advertisement