Ratusan beri penghormatan kepada komander Hezbollah, Haytham Ali Tabtabai yang maut dalam serangan Israel

Penyokong Hezbollah membawa keranda seorang pejuang Hezbollah yang terbunuh bersama komander Haytham Ali Tabtabai pada majlis pengebumian semalam. Tabtabai antara yang maut dalam serangan udara Israel pada Ahad. - Gambar AP
BEIRUT: Ratusan penduduk berkumpul di pinggir selatan Beirut pada Isnin bagi memberi penghormatan kepada komander tertinggi Hezbollah, Haytham Ali Tabtabai, bersama empat pejuang lain yang maut dalam serangan udara Israel di kawasan pinggir bandar sehari sebelumnya.
Pembunuhan yang disasarkan itu jarang berlaku sejak gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa tahun lalu dan insiden ini berlaku sehari selepas Lubnan meraikan Hari Kemerdekaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetus semula konflik.
Perarakan pengebumian melalui kawasan selatan ibu kota disertai laungan anti-Israel dan Amerika Syarikat.
Kedua-dua negara sebelum ini mendesak Lubnan mempercepat usaha melucutkan senjata Hezbollah selaras dengan perjanjian gencatan senjata 2024.
“Kami tidak akan tinggalkan senjata, kami tidak akan tinggalkan tanah kami!” jerit orang ramai.
Pemimpin politik kanan Hezbollah hadir, namun tidak jelas sama ada pegawai tentera turut serta.
Gencatan senjata November 2024 bertujuan menamatkan setahun pertempuran antara Hezbollah dan Israel, yang tercetus selepas serangan roket Hezbollah ke atas pos Israel sehari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Dalam konflik itu, Israel membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, pengganti yang dijangka, serta sebahagian besar komando tertinggi kumpulan tersebut.
Tabtabai, 57, pantas naik pangkat mengisi kekosongan selepas kematian komander kanan, menurut tentera Israel dan sumber keselamatan Lubnan.
Selepas gencatan senjata, beliau menjadi pegawai tentera tertinggi Hezbollah dan menganggotai Majlis Jihad yang mengawal operasi kumpulan itu.
Kini Israel dilihat menyasarkan “generasi baharu” komander Hezbollah, kata sumber keselamatan Lebanon.
“Israel menyingkirkan mereka lapis demi lapis,” tambah seorang diplomat Barat yang bertugas di Lebanon.
Dron pemantau berlegar di Beirut
Israel mengekalkan serangan hampir setiap hari ke atas Lubnan sejak gencatan senjata, menyasarkan depot senjata, pejuang dan usaha pemulihan Hezbollah.
Serangan semakin kerap kebelakangan ini.
“Mana-mana pihak yang mengangkat tangan menentang Israel - tangannya akan dipotong,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan saya bertekad meneruskan dasar penguatkuasaan maksimum di Lebanon dan di mana-mana.”
Sumber keselamatan Lubnan berkata, Israel terus mengumpul maklumat menggunakan dron pemantau.
Pada Isnin, dron Israel dilihat berlegar di Beirut, selatan Lubnan dan Lembah Bekaa di timur.
Keupayaan pengesanan canggih Israel menimbulkan kebimbangan penyokong Hezbollah.
Penganalisis ketenteraan Malek Ayoub memberitahu saluran Al Manar bahawa Israel berpotensi menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tokoh Hezbollah melalui rakaman pengebumian Tabtabai.
“Kecerdasan buatan boleh mengenal pasti wajah-wajah ini untuk membina bank sasaran Israel,” kata Ayoub. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

