PARIS: Ketika Perancis berdepan musim kebakaran hutan paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua, pihak berkuasa menahan ratusan individu yang disyaki menjadi punca kebakaran, sama ada secara sengaja atau akibat kecuaian.
Kementerian Dalam Negeri Perancis memaklumkan seramai 420 individu telah ditahan setakat ini, termasuk 166 remaja bawah umur, susulan kebakaran yang telah memusnahkan lebih 300,000 ekar kawasan sepanjang musim panas ini.
Menurut rekod kerajaan, kira-kira sembilan daripada setiap 10 kebakaran hutan di Perancis berpunca daripada aktiviti manusia, sama ada perbuatan jenayah, kecuaian atau tindakan tidak bertanggungjawab.
Dalam satu kes berprofil tinggi, seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa sengaja memulakan 10 kebakaran berasingan dalam tempoh lima hari di wilayah Var, tenggara Perancis.
Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda €150,000.
Beberapa individu lain turut dijatuhi hukuman segera, termasuk seorang lelaki yang dipenjarakan selama tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan tiga kebakaran di hutan Raon-L'Etape di wilayah Vosges.
Namun begitu, tindakan tegas pihak berkuasa turut mengundang kritikan.
Sesetengah kes melibatkan individu yang didakwa membuang puntung rokok, termasuk seorang gelandangan dan seorang individu autistik, yang dilaporkan turut dikenakan hukuman penjara.
Peguam Muriel Gestas, yang pernah mewakili beberapa tertuduh kes pembakaran termasuk anggota bomba, menyifatkan jumlah tangkapan itu sebagai berlebihan dan mempersoalkan sama ada semua kes berkenaan mempunyai bukti yang kukuh untuk membawa kepada sabitan.
Pihak pendakwa raya pula mempertahankan pendekatan tersebut dengan alasan keadaan cuaca yang sangat kering menjadikan risiko kebakaran amat tinggi.
Menurut Pendakwa Raya Bordeaux, Renaud Gaudeul, tindakan seperti membuang puntung rokok atau menyalakan barbeku di kawasan berhutan boleh mengancam nyawa kerana satu percikan kecil sudah cukup untuk mencetuskan kebakaran besar.
Pakar penyiasatan kebakaran menjelaskan bahawa kebanyakan kebakaran bukan berpunca daripada pembakaran sengaja, sebaliknya akibat kecuaian seperti kerja pembinaan, peralatan elektrik rosak, puntung rokok dan aktiviti rekreasi di kawasan hutan.
Pada masa sama, saintis dan pakar iklim menegaskan perubahan iklim turut menjadi faktor utama yang memburukkan keadaan, dengan suhu yang semakin meningkat dan kemarau berpanjangan menjadikan hutan lebih mudah terbakar.
Presiden Emmanuel Macron berkata keutamaan ketika ini ialah memulihkan kawasan yang musnah dan menyesuaikan hutan Perancis dengan realiti baharu perubahan iklim.
Beliau turut menyeru rakyat supaya bersatu menghadapi krisis tersebut, sambil menegaskan masa untuk menilai kelemahan dan pengajaran daripada bencana itu akan dilakukan kemudian.
Kebakaran hutan tahun ini telah menyebabkan kerosakan besar kepada alam sekitar, kediaman penduduk, sektor pelancongan, perniagaan tempatan dan kualiti udara di beberapa wilayah Perancis.