Ratusan pelayar laut berkumpul di Bondi hormati mangsa tembakan

Para pelayar dan perenang meninggalkan air selepas upacara penghormatan susulan insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney. - Foto AP
SYDNEY: Komuniti Yahudi Australia dan ratusan pelayar laut berkumpul di Pantai Bondi pada Jumaat bagi memperingati 15 mangsa yang terkorban dalam insiden tembakan beramai-ramai ketika sambutan Hanukkah hujung minggu lalu, serangan paling dahsyat di Australia dalam tempoh hampir 30 tahun.
Upacara doa pagi (Shacharit) diadakan di kawasan pantai yang baru dibuka semula selepas menjadi lokasi kejadian berdarah pada Ahad lalu.
Dalam suasana penuh hiba, para hadirin membaca doa dan menyalakan lilin sebagai penghormatan kepada mangsa.
Sementara itu, lebih 500 pelayar dan perenang menyertai acara “paddle-out”, satu tradisi penghormatan dalam komuniti sukan air, dengan berkayuh ke tengah laut dan membentuk bulatan senyap selama seminit bagi memperingati mangsa yang terkorban.
Insiden tembakan itu berlaku apabila dua lelaki bersenjata, dipercayai pasangan bapa dan anak, melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan hari pertama Hanukkah di kawasan pantai.
Serangan itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa serangan tersebut dipercayai didorong oleh ideologi ekstremis yang berkaitan dengan Daesh.
Polis New South Wales telah meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh Sydney dan menahan tujuh lelaki di barat daya bandar itu selepas menerima maklumat mengenai kemungkinan serangan susulan.
Antara mangsa yang terkorban termasuk seorang mangsa Holocaust, seorang rabai Chabad, serta kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Matilda Britvan, yang dikenali oleh keluarganya sebagai “anak yang ceria dan penyayang”.
Perdana Menteri Australia dan pemimpin pelbagai agama turut menyampaikan ucapan takziah, manakala kerajaan negeri mengumumkan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa dan komuniti yang terjejas.
Acara penghormatan di Bondi mencerminkan solidariti rakyat Australia terhadap mangsa dan penolakan terhadap keganasan.
“Ini bukan sekadar tragedi terhadap komuniti Yahudi, tetapi serangan terhadap nilai masyarakat pelbagai budaya kita,” kata seorang penganjur acara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


